GEORGE TOWN : Dua kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Super ketika ini menjadi pencetus semangat buat Penang FC untuk mencapai sasaran mereka iaitu menempatkan diri dalam kalangan tujuh pasukan terbaik musim ini.
Berbaki satu perlawanan menentang Sri Pahang FC di gelanggang lawan Sabtu ini, anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail dalam keadaan terbaik untuk meneruskan momentum kemenangan sekali gus memperbaiki pencapaian ranking ke-10 musim lalu.
Wan Rohaimi berkata, beliau yakin sasaran itu mampu digapai selepas membenam KL City FC 1-0 di laman sendiri.
“Bukan senang nak menang dengan KL City. Kita tahu mereka adalah pasukan yang berpengalaman dan mereka juga memberi tentangan sengit kepada Penang FC (sepanjang 90 minit perlawanan).
“Jadi, saya patut beri pujian kepada pemain-pemain saya di atas kesungguhan serta komitmen mereka untuk merealisasikan hasrat pasukan mengumpul tiga mata penuh dalam perlawanan terakhir di bumi Pulau Pinang ini,” katanya.
Dalam perlawanan itu, penyerang muda, Muhammad Alif Ikmalrizal Anuar muncul wira skuad Harimau Kumbang apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-27.
Mengulas mengenai masa depannya bersama Penang FC selepas ini pula, Wan Rohaimi berkata, beliau menyerahkan segala-galanya kepada pihak pengurusan untuk menentukan.
“Jadi, biarlah ‘management’ (pengurusan) yang tentukan musim depan macam mana pula. Tetapi, bagi saya, musim saya belum habis kerana pada 19 hari bulan ini (Sabtu), saya masih ada satu ‘game’ untuk diharungi (menentang Sri Pahang),” ujar beliau. – UTUSAN










