Pemain tempatan belum capai standard  

Pemain tempatan belum capai standard  

Wan Jamak Wan Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Kualiti pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) masih di tahap lama dan tidak menunjukkan peningkatan ketara walaupun liga sudah memasuki fasa profesional sejak beberapa tahun lalu.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, kelemahan ketara dapat dilihat terutamanya dalam kalangan pemain di posisi serangan apabila kebanyakan carta penjaring terbanyak terus dikuasai oleh pemain import saban musim.

“Kalau kita lihat sekarang ini, kita menghadapi masalah ketandusan penyerang tempatan yang benar-benar berkualiti. Hampir semua pasukan bergantung kepada penyerang import. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini menunjukkan pembangunan pemain kita masih belum mencapai tahap yang memuaskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kata Wan Jamak, ketiadaan penyerang tempatan yang berwibawa memberi kesan langsung kepada prestasi skuad Harimau Malaya kerana tidak ada pelapis yang mampu menggalas tanggungjawab di peringkat antarabangsa.

“Pemain-pemain muda dari program pembangunan seperti NFDP dan AMD belum cukup matang. Kita dapat lihat mereka gagal menyerlah dalam kejohanan seperti Kelayakan AFC atau Piala Dunia bawah 17 tahun. Jadi, bagaimana mereka mahu bersaing di peringkat senior,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau turut meluahkan kebimbangan apabila pemain tengah dan pertahanan juga semakin dikuasai oleh pemain import, menjadikan peluang untuk pemain tempatan menyerlah semakin tipis.

“Hanya segelintir pemain tempatan seperti Arif Aiman dan Faisal Halim yang dilihat mampu bersaing dari segi kualiti. Selebihnya, ada yang sekejap muncul, sekejap tenggelam,” ujarnya.

Turut senada dengannya, pemerhati sukan tempatan, Prof Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berkata, kualiti pemain tempatan Liga M boleh disifatkan sebagai kritikal.

Katanya situasi itu boleh dilihat apabila kehadiran penyokong untuk menyaksikan perlawanan di stadium masih belum memuaskan.

“Ini salah satu bukti jelas bahawa keyakinan serta minat penyokong terhadap Liga M semakin merosot,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×