Masyarakat makin hilang adab

Masyarakat makin hilang adab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INSAN yang dilahirkan ke dunia ini memiliki komponen kompleks serta mewarisi adat dan tradisi yang masih diamalkan sehingga kini oleh sesetengah keturunan dan etnik.

Demikian faktor paling asas untuk seseorang memahami hidup ini memiliki peraturan, undang-undang, piagam dan seterusnya peringkat tertinggi peradaban atau negara pada hari ini yang disebut Perlembagaan. Kesemua ini hanya untuk memastikan hidup insan serta masyarakatnya kelak menjadi harmonis, bahagia dan meraih kemajuan bersama untuk negara bangsa mahupun kemakmuran dunia secara menyeluruh juga sistematik.

Insan melalui peraturan kejadian yang ditetapkan-Nya. Ibu yang hamil lazimnya mematuhi peraturan ditetapkan untuk memastikan bayi dan ibu selamat serta bebas daripada risiko yang boleh menjejaskan kedua-duanya.

Setiap negara memiliki sistem komprehensif dalam mentadbir populasinya. Sistem perekodan kelahiran warganegara didatakan agar rajah piramid populasi menepati ciri-ciri negara yang mempunyai kompleks rakyat. Ia akan terus melestarikan citra menyeluruh konsep negara bangsa yang diacuankan pemerintah. Rakyat yang dilahirkan melalui acuan ini kelak akan memberikan sumbanga kepada kestabilan dan kemampanan negara dalam seluruh bidang.

Dalam peradaban manusia, pelbagai inspirasi atau kaedah digunakan bagi mengukuhkan rasa hormat dan citra menyayangi negara termasuklah prinsip kendiri warisan adab yang bermula daripada institusi keluarga sehinggalah dikuatkuasakan oleh pemerintah sesebuah peradaban atau negara.
Hal ini berlaku sejak berabad lamanya yang bertujuan agar matlamat memperkukuhkan serta menjulang kecemerlangan peradaban dapat dikekalkan.

Menurut Mohd. Rosli Saludin dan Muhammad Sufi Ahmad Nazri (2020) adab ditakrifkan perilaku, perbuatan, kesantunan, moral, sopan, santun, kesusilaan dan kemanusiaan. Alam Melayu memiliki petua atau panduan yang diwarisi untuk menjadi inti kepada adab susila isi keluarganya sehinggalah dalam interaksi dengan masyarakat di luar termasuk pemimpin, ketua mahupun raja.

Kesemua ini sarat dengan maksud tersirat dan merupakan ilmu warisan zaman-berzaman yang perlu difahami lagi dihargai. Jika maksud tersirat itu tidak diketahui, generasi seterusnya tidak akan dapat memahami alasan atau kemunasabahan perkara yang mereka warisi itu. Impaknya generasi yang tidak beradab akan menconteng kanvas kecemerlangan peradaban.

Lazimnya manusia menjadi musuh kepada perkara yang tidak difahaminya. Oleh yang demikian, usaha menggiatkan pemahaman dan penghayatan adab perlu dilaksanakan semua pihak.

 

 

PERANAN ibu bapa dan orang dewasa amat penting dalam memupuk rasa hormat terhadap semua lapisan masyarakat. 

Perayaan Aidilfitri membuka peluang memperkukuh citra adab ke arah perpaduan. Menariknya apabila musim perayaan tiba, pelbagai kearifan dimiliki budaya dapat diserlahkan termasuk kreativiti dalam menyediakan juadah. Ia menuntut kebijaksanaan keluarga yang mewarisi tradisi ini bertahun-tahun.
Selain itu, keluarga dan rakan tampil dengan jiwa yang murni, saling memaafkan dan ini akan tercermin daripada tutur kata yang santun dan tingkah laku yang berhemah, agar Aidilfitri menjadi medan keharmonian bukan perselisihan.

Pengaruh media sosial sebagai ejen menyebarluaskan citra yang tidak selari dengan budaya turut mencengkam masyarakat era kini khususnya golongan muda. Tular trend menari ketika menerima duit raya yang mengundang kebimbangan pelbagai pihak dan dibahaskan oleh ilmuwan sebagai petunjuk adab mula terhakis dalam masyarakat.

Adab dalam berbicara memainkan peranan penting bagi menjamin keharmonian dalam pelbagai situasi. Antara contoh tutur kata yang perlu dielakkan apabila bertemu ialah soalan berbentuk peribadi seperti “Bila nak kahwin?” atau “Bila nak dapat anak?”. Walaupun soalan ini mungkin dilontarkan tanpa niat buruk, tetapi boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada individu yang menghadapinya. Hal ini kerana setiap insan mempunyai perjalanan hidup yang berbeza dan mungkin berhadapan dengan cabaran tertentu dalam aspek perkahwinan atau keluarga.

Selain itu, ucapan sinis atau pertanyaan yang menyentuh isu sensitif boleh mengurangkan tahap kesejahteraan subjektif seseorang. Menurut Ed Diener, kesejahteraan mental berkait rapat dengan rasa dihargai dan diterima dalam persekitaran sosial. Justeru, adab dan kepekaan dalam berbicara adalah asas penting untuk memastikan aidilfitri menjadi ruang sokongan, bukan tekanan.

Elakkan mengkritik penampilan seseorang, sama ada mengenai berat badan, warna kulit atau cara berpakaian. Dalam suasana gembira ini, ungkapan seperti “makin berisi sekarang” atau “nampak makin tua” mungkin dianggap gurauan, tetapi boleh mengguris perasaan. Sebarang bentuk kritikan yang tidak membina sebaiknya dielakkan kerana ia boleh merosakkan suasana perayaan.

Antara contoh lain ialah daripada video tular seorang budak menuturkan kata-kata “Orang kampung, saya tak nak kiss (cium),” turut boleh membawa implikasi yang besar terhadap persepsi kanak-kanak terhadap masyarakat kampung.

Peranan ibu bapa dan orang dewasa amat penting dalam memupuk rasa hormat terhadap semua lapisan masyarakat. Dalam membentuk kefahaman sosial. Berdasarkan Teori Perkembangan Sosial oleh Vygotsky, nilai hormat hanya boleh dipupuk jika anak-anak dibimbing secara langsung oleh individu yang matang dan bertanggungjawab dalam masyarakat.

Marilah kita jadikan setiap saat sebagai peluang untuk mengamalkan serta mengekalkan citra tutur kata yang santun, berempati terhadap perasaan orang lain dan menyemai nilai hormat merentas usia, pangkat mahupun latar belakang.

Kesopanan bukan sahaja mencerminkan akhlak peribadi, tetapi juga mencorakkan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh. Sesungguhnya, adab itu cerminan kebijaksanaan diri seseorang.

Rumus yang boleh kita hayati menurut Mohd. Zaidi Ismail dan Wan Suhaimi Wan Abdullah (2012) adalah peradaban itu tidak akan dicapai melalui sikap biadab anarki intelektual.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya