Kehidupan tanpa akhlak melenyapkan kehalusan budi pekerti

Kehidupan tanpa akhlak melenyapkan kehalusan budi pekerti

KECENDERUNGAN kepada kehidupan berakhlak dan bermoral adalah fitrah manusia yang inginkan kebaikan, kedamaian, ketenteraman serta keindahan hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEHIDUPAN tanpa nilai akhlak atau moral akan menyebabkan kehidupan masyarakat penuh dengan pelbagai gejala buruk, yang akhirnya menyebabkan kehidupan menjadi tidak damai dan tenteram.

Keindahan dan kehalusan budi hilang menjadikan hidup dikelilingi kegelisahan serta kebimbangan disebabkan banyaknya kejahatan dan jenayah. Justeru, persoalan mengenai akhlak atau moral diberi perhatian serta dibahaskan sejak dulu lagi oleh ahli-ahli falsafah Yunani dan yang terkemudian.

Ahli falsafah seperti Soctartes, Plato sehinggalah membawa kepada yang moden seperti Charles Sander Peirce, William James dan John Dewey membahas serta menyelidik persoalan mengenai moral dalam kehidupan manusia.

Socrates adalah antara ahli falsafah Yunani yang berpendapat akhlak adalah ukuran untuk mengetahui baik dan buruk sesuatu perbuatan.

Muridnya, Plato pula berpendapat kehidupan yang mulia dan bahagia bertitik tolak daripada moral yang baik dengan empat keutamaan iaitu kebijaksanaan, keberanian, keperwiraan dan keadilan.

Mereka turut membahas persoalan tentang moral dengan tujuan membentuk masyarakat Yunani ketika itu agar dapat berperanan dengan baik terhadap tanah airnya.

Di Tanah Besar China , ajaran Kung Fu Tse sangat menitik beratkan nilai-nilai moral. Prinsip-prinsip budi pekerti yang baik dalam ajaran ahli falsafah China itu berasaskan dua aspek, iaitu hsiao. Ia berkaitan hubungan dalam kehidupan manusiawi dan shu, iaitu hubungan timbal balik pihak atasan terhadap pihak bawahan, termasuk pemerintah dengan rakyat.

Asas pemikiran Kung Fu Tse yang penting menekankan ‘apa yang kamu tidak ingin lakukan orang lain terhadapmu jangan lakukan terhadap orang lain.’ Ajaran Konfusianisme ini turut mengajarkan lima kebaikan, iaitu ren (perasaan kasih sayang), yi (melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan), sin, (amanah), li (norma-norma baik dalam mentadbir) serta zhi atau cu (bijaksana dalam hidup ini).

Di dalam ajaran Buddha pula, antara ajaran moralnya yang penting ialah penganutnya dikehendaki menghindari perbuatan zina dan minuman keras yang boleh memudaratkan tubuh badan.

Demikian juga dalam ajaran Hindu, tokoh Patan Jali mengajarkan dua konsep moral yang penting, iaitu Yamas dan Niyamas.

Yamas adalah amalan untuk diri sendiri seperti sathya (amanah), ahimasa (berfikiran mulia), asteya (tidak menghasut), brahmacharia (berperibadi mulia) dan aparigraha (tidak tamak). Niyamas pula ialah amalan mulia untuk kepentingan umum seperti santhosa (menghormati orang lain), tepaha (sabar dalam menolong orang), iswariaparanidha (dermawan), sundhyaya (berdisiplin) dan saucha (elok tingkah laku).

Jika ditinjau kepada ajaran agama langit (samawi) maka kita akan dapati ajaran agama ini amat menekankan tentang nilai akhlak atau moral dalam kehidupan.

Di Eropah, agama Nasrani atau Kristian mula tersebar pada akhir abad ketiga masihi, nilai-nilai akhlak yang terkandung dalam taurat diterima dan diamalkan oleh masyarakat Eropah.

Penganut Kristian yang berpegang kepada The Ten Commandments berasaskan Old Testament berpegang kepada 10 prinsip kebaikan hidup, termasuklah beberapa perkara yang dilarang dalam ajaran itu seperti zina, membunuh, mencuri, berdusta dan mengambil hak jiran.

Dalam ajaran New Testament pula, penganut Kristian disuruh bersifat merendah diri, bercakap benar, berterus terang, mencintai orang lain, berkasih, mengasihi jiran, menghormati ibu bapa dan mengutamakan etika. Mereka dilarang melakukan perbuatan keji seperti menghina, menipu dan bersifat tamak.

Dalam masyarakat Arab jahiliah, sebelum kedatang Islam terdapat kata-kata hikmat dan syair-syair yang menyentuh tentang kebaikan dan keburukan mengikut ukuran mereka. Setelah Islam diturunkan dan kemudian berkembang ke seluruh pelosok dunia, ia bukan sahaja membawa ajaran monotheisme (tauhid) tetapi juga menekankan penganutnya dengan nilai-nilai akhlak berasaskan ajaran al-Quran.

Jika nilai moral yang dibentuk hasil pemikiran manusia, sebaliknya ajaran akhlak Islam adalah bersumberkan wahyu yang kebanyakkan nilai-nilainya bersifat kekal dan tidak tertakluk kepada perubahan zaman.

Islam mendefinisikan nilai akhlak dalam skop lebih luas sehingga membawa maksud larangan syarak yang perlu dibendung dengan hukum-hukum hudud, kisas dan takzir. Justeru perbuatan seperti zina, minum arak, liwat, gay, lesbian dan sebagainya termasuk dalam larangan syarak dan skop jarimah atau jenayah.

Amalan meninggalkan perintah seperti solat, puasa di bulan Ramadan, zakat dan sebagainya juga tergolong dalam skop jarimah.

FITRAH
Hakikatnya, kecenderungan kepada kehidupan berakhlak dan bermoral adalah fitrah manusia yang inginkan kebaikan, kedamaian, ketenteraman serta keindahan hidup.

Namun, hari ini, banyak perkara baik mengenai nilai-nilai akhlak dan moral mula diketepikan. Manusia jadi bongkak dan hilang kehalusan budi pekerti serta keindahan hidup disebabkan terlalu terpukau dengan pelbagai kemajuan dan kemodenan yang menumpukan kepada nilai-nilai kebendaan (materialistik).

Bermula daripada mengetepikan agama dalam kehidupan yang hanya dianggap ritual dan urusan peribadi, maka lahir pemikiran baharu mengenai moral dan akhlak. Pemikiran ini dikaitkan dengan falsafah pragmatisme yang mula berkembang di Amerika Syarikat (AS) pada akhir abad ke-19.

Oleh kerana pemikiran moral tidak lagi berpaut pada agama, ia menolak nilai-nilai tetap (absolute) yang ada dalam agama. Bagi mereka semuanya berubah mengikut zaman termasuklah persoalan akhlak atau moral.

Kesimpulannya, kehidupan tanpa akhlak dan moral akan melenyapkan kehalusan budi pekerti insan, melenyapkan keindahan hidup dan membawa kehidupan insaniah ke jurang kebinasaan.-UTUSAN

Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN