KUALA LUMPUR: Perenang negara, Khiew Hoe Yean mencipta detik bersejarah apabila muncul perenang pertama negara melepasi masa kelayakan A Sukan SEA Thailand 2025 dalam Kejohanan Renang Terbuka Malaysia, kelmarin.
Perenang berusia 22 tahun itu menambah koleksi pingat emas ketiganya selepas memenangi acara 200 meter gaya bebas dengan catatan 1 minit 48.46 saat (s) di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Had masa kelayakan A untuk layak ke temasya dwitahunan itu harus mengatasi 1:49.31s manakala B harus mencatat 1:51.74s.
“Sasaran utama saya memang Sukan SEA, jadi saya sangat puas hati kerana berjaya melepasi masa kelayakan A.
“Walaupun sudah layak, saya tak mahu terlalu selesa kerana masih banyak ruang untuk diperbaiki,” kata Hoe Yan.
Lebih manis, catatan itu bukan sahaja melayakkannya ke Sukan SEA, malah turut menepati syarat kelayakan Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura.
Menurut format kejohanan hanya seorang wakil dari sesebuah negara boleh mewakili pada setiap acara yang ditawarkam oleh Akuatik Dunia (WA).
Hoe Yean sebelum ini diberi peluang beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi slot wildcard bersama perenang wanita negara, Tan Rouxin.
Kejohanan Dunia dijadualkan berlangsung pada 11 Julai hingga 3 Ogos ini di Singapura manakala Sukan SEA akan mengambil tempat di Bangkok pada 7 hingga 19 Disember. – UTUSAN









