Detik sukar ‘kehilangan’ datuk

‘Hilang’ insan tersayang saat berjuang

Muhammad Hafiz Zainuddin beraksi dalam Kejohanan Terbuka Malaysia 2025 di Sunway Megalanes, minggu lalu. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya hanya buat terbaik untuk arwah datuk.”

Itulah luahan emosi atlet boling negara, Muhammad Hafiz Zainuddin yang tidak dapat melupakan peristiwa paling menyayat hati dalam hidupnya ketika sedang menggalas tugas negara di pentas antarabangsa.

Tatkala tumpuannya sepenuhnya kepada kejohanan Terbuka Singapura 2023, Hafiz dikejutkan dengan berita pemergian datuknya.

Pemergian mengejut itu bukan sahaja meruntun jiwanya, malah menjadi titik paling sukar dalam perjalanan kariernya sebagai atlet profesional.

“Saya sangat sedih dan hiba masa tu,” kata Hafiz dalam nada sebak, mengenang saat kehilangan yang berlaku di luar jangkaan itu.

Namun, semangat juang atlet berusia 25 tahun itu  tidak goyah sebaliknya tetap mengerah keringat, menjadikan kejohanan itu sebagai medan untuk mempersembahkan sesuatu yang terbaik buat insan yang dikasihinya.

“Saya hanya mampu buat terbaik untuknya dan sentiasa  mendoakan buat dirinya,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Minat atlet kelahiran Kuala Lumpur itu dalam sukan boling bukan hadir secara tiba-tiba, ia dipupuk sejak kecil lagi menerusi pengaruh keluarga. 

“Saya mula menceburi dalam sukan boling sebab ikut keluarga. Satu keluarga saya main boling, jadi dari situ saya berminat untuk mencuba,” katanya.

Daripada suka-suka, Hafiz kemudiannya mengambil langkah serius mendapatkan bimbingan jurulatih bagi meningkatkan tahap permainannya.

Bermula dari kejohanan peringkat Majlis Sukan-Sukan Daerah(MSSD) sehingga ke pentas Majlis Sukan-Sukan Malaysia(MSSM), Hafiz terus melakar peningkatan sebelum mencuba nasib dalam kejohanan Milo sebagai usaha menyertai skuad kebangsaan.

Antara detik paling manis dalam hidupnya adalah apabila menjuarai Kejohanan Milo, yang menjadi batu loncatan menyertai skuad elit negara. 

“Perkara yang saya tak boleh lupakan, menang Kejohanan Milo untuk pemilihan skuad  Malaysia,” katanya.

Anak bongsu daripada empat beradik itu mengakui cabaran utama sebagai atlet adalah untuk kekal konsisten dalam setiap kejohanan. 

“Cabaran saya adalah untuk mengekalkan konsistensi dalam setiap kejohanan, itu yang saya hadapi selama ini,” katanya.

Namun, segala jerih perih berbalas apabila impiannya meraih kejayaan di depan keluarga sendiri menjadi kenyataan. 

“Kejohanan Terbuka Malaysia 2024 antara paling bermakna untuk saya sebab saya menang di depan keluarga saya, itu saya impikan selama ni,” katanya.

Kini, Hafiz meletakkan sasaran yang lebih besar iaitu  muncul pemain boling nombor satu Asia dan dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×