Gillian sedia pertahan kejuaraan  

Gillian sedia pertahan kejuaraan  

Aksi pemain boling wanita negara, Gillian Lim pada Kejohanan Boling Terbuka Malaysia 2024 di Sunway Mega Lanes. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh boling negara, Gillian Lim bertekad untuk mempertahankan gelaran juara Terbuka  wanita pada Kejohanan Boling Terbuka Malaysia Antarabangsa ke-43 yang berlangsung di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid.

Gillian berkata, beliau tidak mahu memberi tekanan yang berlebihan kepada diri sendiri, sebaliknya mahu mengekalkan tumpuan dan bermain mengikut rentak sendiri.

“Jurulatih selalu berpesan, jangan terlalu menekan diri, hanya main seperti biasa. Sebab apabila berada di lorong, ia hanya antara saya dengan diri saya sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Atlet kelahiran Sarawak itu juga tidak memandang mudah cabaran daripada negara lain, malah menyifatkan rakan sepasukannya sendiri sebagai antara saingan terbesar.

“Rakan sepasukan saya sendiri kebanyakannya adalah juara dunia, terutamanya dari Singapura. Jadi, saya anggap semua perlawanan sebagai satu cabaran besar,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua jurulatih Boling negara, Gerald Samuel menyifatkan prestasi konsisten ditampilkan atlet muda itu mampu meletakkannya sebagai sandaran utama dalam kejohanan akan datang.

Katanya, Gillian dilihat semakin matang dalam setiap aspek permainannya termasuk ketahanan fizikal, kawalan bola serta kemampuan membaca corak permainan lawan.

“Gillian sebenarnya adalah pemain yang bagus. Kalau kita lihat, dia bermain dengan sangat konsisten sejak kebelakangan ini. 

“Pergerakan bolanya kemas dan dia juga mempunyai kekuatan fizikal yang baik,” kata Gerald.

Bekas pemain boling negara itu juga berkata,Gillian telah membuktikan bahawa atlet itu mampu bersaing di pentas tertinggi.

“Semuanya bergantung pada hari kejohanan itu sendiri, tetapi saya yakin dia mampu mengangkat prestasinya apabila diperlukan. Jika dia terus kekal dengan pelan permainannya, dia boleh pergi lebih jauh.

“Saya nampak dia sedang berada di landasan yang betul untuk menjadi pemain utama negara,” tambah Gerald.

Sebelum ini, Gillian berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Malaysia pada edisi lepas dalam kategori Terbuka Wanita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN