Gagal pertahan kejuaraan bukan penamat - Hafiz 

Gagal pertahan kejuaraan bukan penamat – Hafiz 

Muhammad Hafiz Zainuddin beraksi dalam final Terbuka Lelaki Boling Terbuka Malaysia di Sunway Megalanes, minggu lalu. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain boling kebangsaan, Muhammad Hafiz Zainuddin tidak mahu terus menoleh ke belakang selepas gagal mempertahankan kejuaraan dalam kejohanan Terbuka Malaysia lalu, 

Sebaliknya dia mahu fokus memburu gelaran sulung dalam Kejohanan Antarabangsa Sonic Klasik 2025 di Singapura dari 23 hingga 26 April ini.

Menurut Hafiz, kegagalan pada kelmarin bukan titik noktah buatnya, malah dia menganggapnya sebagai pemangkin semangat untuk tampil lebih bersedia dan tajam dari segi strategi serta ketepatan pukulan pada kejohanan akan datang.

“Saya dah buat yang terbaik, cuma agak kecewa sebab tak dapat pertahankan kejuaraan. Tapi saya bangga dengan prestasi Ethan yang baru menang Terbuka Remaja  dan menunjukkan keyakinan tinggi ketika beraksi menentang senior di final.

“Itulah boling, kadang-kadang rezeki bukan di pihak kita. Semua peserta ada peluang untuk menang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi kejohanan Sonic nanti, Hafiz mengakui ketepatan pukulan (akurasi) dan ‘sparing’ akan menjadi aspek utama yang perlu diperbaiki untuk memastikan beliau kekal konsisten sepanjang kejohanan berlangsung.

“Dua perkara itu memang beri kesan kepada permainan saya kelmarin, jadi saya mahu elakkan kesilapan yang sama. Saya akan cuba perbaiki dan tingkatkan prestasi pada kejohanan di Sonic nanti,” ujarnya.

Mengulas mengenai sasaran peribadi, Hafiz menegaskan beliau menyasarkan untuk sekurang-kurangnya menempatkan diri di podium, meskipun menyedari cabaran yang menanti cukup sengit.

“Sasaran saya kali ini ialah untuk layak ke pusingan akhir dan cuba tempatkan diri di podium. Jika ada rezeki dan diberi peluang untuk menang gelaran, itu adalah bonus kerana saya belum pernah menang gelaran di Sonic,” katanya.

Sebelum ini, Hafiz terpaksa akur selepas tewas dalam perlawanan akhir Terbuka Lelaki Kejohanan Antarabangsa Terbuka Malaysia ke-43 selepas tewas kepada atlet pelapis negara, Ethan Damien Goh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×