Fandi harap pengadil perlawanan adil 

Fandi harap pengadil perlawanan adil 

FANDI Ahmad (kiri) bersama Fadhli Shas dalam sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad berharap agar barisan pengadil yang akan mengendalikan aksi final Piala Malaysia 2024/2025 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) malam ini bersikap adil kepada kedua-dua pasukan.

Beliau berkata, dalam perlawanan sepenting ini, keadilan pengadil sangat penting demi memastikan kedua-dua pasukan diberi peluang yang seimbang untuk bersaing secara sihat dan profesional di atas padang.

“Saya harap pengadil boleh beri keputusan yang adil. Kita mahu fokus kepada permainan, bukan kepada keputusan yang boleh jejaskan semangat pemain.

“Keadilan adalah tanda kemakmuran,” katanya pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Fandi turut menyatakan Sri Pahang yang turun sebagai underdog dalam aksi final ini  mengutamakan aspek mentaliti dan kesatuan pasukan, khususnya selepas kehilangan dua tonggak utama, Kepa dan Manuel Hidalgo akibat kecederaan.

“Kita mungkin hilang ketajaman di depan tanpa Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo, tapi kita tak boleh gerun. Kita tak perlu takut. Yang kita kena takut, adalah kalau kita tak bersatu, kalau kita hilang disiplin dalam padang,” tegasnya.

Fandi juga menekankan bahawa semangat juang tinggi dalam kalangan pemain adalah aset utama untuk menyaingi JDT, yang dianggap sebagai pasukan pilihan dan gergasi bola sepak negara.

“Menang atau kalah, kita tetap akan berjuang. Yang penting kita beri cabaran kuat dan hebat kepada JDT. Semua tahu mereka pasukan terbaik, favourite, tapi itu bukan alasan untuk tidak mencabar mereka,” katanya.

Sepanjang sesi latihan di Akademi Mokhtar Dahari dan Bukit Jalil, beliau melihat para pemain menunjukkan kesungguhan yang tinggi dan berebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya tak pernah simpan satu kesebelasan tetap. Semua saya bagi peluang, saya nak tengok siapa yang ada kualiti dan lebih penting lagi, mentaliti. Kalau tak ada mentaliti, susah,” katanya.

Mengulas perasaan menghadapi final menentang pasukan yang pernah diwakilinya suatu ketika dahulu, Fandi mengakui ia bukan mudah, namun tanggungjawab sebagai jurulatih memerlukan beliau fokus sepenuhnya terhadap kebangkitan Sri Pahang.

“Memang susah, tapi saya kena jaga hati pemain-pemain saya sekarang. Zaman dah berubah, pemain sekarang bukan macam dulu. Kita kena bimbing, bukan hanya menjerit. Mereka kena faham tugas mereka, kena main untuk pasukan, bukan individu,” tambahnya.

Untuk rekod, kali terakhir Sri Pahang menjulang Piala Malaysia pada 2014 ketika menewaskan JDT berakhir 2-2 selepas masa tambahan, dan Pahang berjaya menewaskan JDT 5-3 dalam penentuan penalti untuk merangkul kejuaraan Piala Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×