Detik bersejarah sambutan Jubli Perak pemerintahan Raja Perlis

Detik bersejarah sambutan Jubli Perak pemerintahan Raja Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail bersama rakyat jelata. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini, merupakan detik cukup bersejarah sempena sambutan Jubli Perak selama 25 tahun pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Pelbagai program diatur sepanjang tahun ini bagi memeriahkan sambutan yang julung kali diadakan sejak pemerintahan baginda pada tahun 2000.
Suasana di negeri ini cukup meriah dengan sepanjang jalan termasuk Istana Arau dihias indah bercahaya.

Sambutan tersebut bakal menyaksikan keberangkatan raja-raja pemerintah atau wakil-wakil bersama Tuan-Tuan Yang Terutama dari seluruh negara termasuk Brunei menghadiri Majlis Santapan Malam Diraja di Istana Arau pada malam ini.

Sambutan itu juga merupakan penghargaan dan kesetiaan rakyat terhadap kepimpinan baginda yang sentiasa berjiwa rakyat serta berperanan penting dalam pembangunan mahupun kesejahteraan negeri.

Tuanku Syed Sirajuddin merupakan anak kedua dan putera pertama daripada 10 anakanda Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Tuanku Tengku Budriah Tengku Ismail. Baginda diputerakan di Istana Arau pada 17 Mei 1943.

Baginda memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Arau (Sekolah Tengku Budriah) pada 1948 sehingga tamat darjah dua. Kemudian meneruskan pengajian di Sekolah Rendah Wellesley, Pulau Pinang pada 1950 sebelum bertukar ke Sekolah Rendah Westland.

Selepas tamat persekolahan rendah pada 1955, Tuanku Syed Sirajuddin meneruskan legasi ayahandanya dengan melanjutkan pengajian peringkat menengah di Penang Free School. Baginda merantau ke England bagi menyambung pengajian di Wellingborough Public School.

Bakal menerajui tampuk pemerintahan Jamalullail, baginda dilatih untuk merantau jauh daripada keluarga agar dapat memantapkan ketahanan peribadi dan keupayaan berdikari.

Pada 30 Oktober 1960, ketika masih berusia 17 tahun, baginda dilantik menjadi Raja Muda Perlis keempat dalam sejarah negeri ini. Baginda juga menjadi Raja Muda Perlis pertama yang dimasyhurkan dalam kalangan putera kepada Raja Perlis yang memerintah.

Menariknya, baginda merupakan Raja Perlis pertama mendapat latihan ketenteraan secara formal, malah pernah berkhidmat dalam barisan hadapan pertahanan negara sebagai pegawai tentera.

Setelah tamat menerima pendidikan di England, baginda terus mempamerkan potensi keperwiraan dan kepemimpinan ketenteraan apabila mengikuti kursus Pegawai Kadet Tentera Darat di Royal Military Academy Sandhurst, England.

Sepanjang tempoh latihan antara 7 Januari 1964 sehingga 16 Disember 1965, baginda menjalani proses latihan lasak sebagai persediaan menjadi pegawai tentera darat dan selepas tamat latihan tersebut, baginda memulakan kerjaya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Seiring keberadaan dalam perkhidmatan ketenteraan negara, pada 12 Disember 1965 baginda ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Kor Peninjau Diraja yang kini dikenali sebagai Kor Armor Diraja.

Baginda ditugaskan di Sabah pada 1966 dan juga di Sarawak setahun kemudian.

Pada Disember 1967, baginda dinaikkan pangkat sebagai leftenan dan pelantikan itu menyerlahkan lagi sifat kepahlawanan dan keberanian dalam membela kebenaran.

Pada 1965, iaitu semasa peristiwa konfrontasi antara Malaysia dengan Republik Indonesia, ayahanda baginda iaitu Tuanku Syed Putra menjadi tonggak kekuatan kepada seluruh rakyat Malaysia sebagai Yang di-Pertuan Agong ketiga.

Ketika detik bersejarah itu, Tuanku Syed Sirajuddin selaku anggota ATM mengikrarkan sumpah setia bagi mempertahankan kedaulatan negara. Baginda juga tetap berdiri teguh di barisan hadapan sebagai perajurit bagi mengharungi detik pahit getir negara ketika peristiwa 13 Mei 1969.

Selain itu, baginda turut terlibat dalam operasi pengamanan pemberontakan Parti Komunis Malaya sewaktu darurat.

Pada November 1970, baginda ditauliahkan sebagai Kolonel, kemudiannya menjadi Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang memerintah pasukan Perlis dan Kedah. Apabila Rejimen 513 ditubuhkan di Kedah, Rejimen 504 berada di bawah perintah baginda dan markasnya terletak di Kem Bukit Keteri, Perlis.

Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Perlis selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Syed Putra pada 17 April 2000. Tuanku Syed Sirajuddin dipilih sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Mengangkat Raja sebagai Raja Pemerintah Perlis yang baharu. Istiadat pertabalan disempurnakan pada 7 Mei 2001 di Istana Arau.

Baginda juga merupakan Raja Perlis pertama dilantik selepas Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis digubal pada 1948. Bermula daripada pemasyhuran tersebut, baginda menjadi payung negeri yang menaungi kehidupan rakyat Perlis.

Bersama-sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid baginda berdua sentiasa kasih dan mengambil berat kebajikan rakyat jelata selain prihatin terhadap pentadbiran agama Islam serta cakna dengan pembangunan negeri ini.

Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya menyambut keputusan Majlis Raja-Raja yang memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-12 bermula 13 Disember 2001.

Meskipun ketika itu baru sahaja ditabalkan sebagai Raja Perlis, namun pengalaman selama 40 tahun sebagai Raja Muda Perlis cukup membantu baginda dalam mengurus tadbir pemerintahan di peringkat persekutuan.

Bagi rakyat Perlis, hubungan mereka dengan Tuanku Syed Sirajuddin sangat akrab. Baginda sering kali mencemar duli dalam menjayakan aktiviti yang melibatkan raja dan rakyat tanpa jemu dan lelah. Tidak hairanlah baginda amat disenangi dan disayangi segenap lapisan masyarakat di Perlis.

Sebagai raja pemerintah yang menjadi tonggak kesejahteraan negeri dan rakyat, baginda sentiasa memberi naungan dengan saksama kepada segenap warga tanpa mengira etnik dan agama. Baginda merupakan tunjang kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan dan instrumen kesatuan dalam kepelbagaian di negeri ini.

KECINTAAN RAKYAT TERHADAP RAJA PERLIS

Bersempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin, ia akan menjadi detik bersejarah dan kenangan cukup indah buat seluruh rakyat di negeri ini. Hari ini juga menjadi hari ‘luahan’ rasa cinta seluruh rakyat terhadap baginda.

Semoga baginda disamping Tuanku Tengku Fauziah serta pewaris tahta sentiasa dilindungi dalam keredaan Allah SWT, diberkati usia dengan setinggi-tinggi kemuliaan selain terus menjadi payung kepada rakyat menumpang berteduh. Daulat Tuanku!-UTUSAN

 

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya