PETALING JAYA: Penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva memerlukan empat gol lagi untuk mencipta rekod baharu sebagai penjaring terbanyak Liga Super dalam satu musim.
Ketika ini, penyerang kelahiran Brazil yang bakal menjadi pemain naturalisasi Harimau Malaya itu mendahului senarai penjaring dengan 26 gol dan dilihat mampu mengatasi rekodnya musim lalu yang meledak 29 gol.
Pada musim lalu, Bergson memadam rekod yang dilakar bekas penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun pada 2021 yang menjaringkan 26 gol untuk diiktiraf sebagai penjaring terbanyak.
Ketika ini, skuad kendalian Hector Bidoglio masih berbaki dua perlawanan lagi dan sekiranya diturunkan alam kedua-dua aksi itu, Bergson dilihat mampu melekar sejarah baharu bersama JDT.
Malam ini, Harimau Selatan akan berdepan pasukan tangga tercorot Liga Super, Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Sultan Ibrahim sebelum menutup saingan liga menentang Kuching City di Stadium Negeri, enam hari kemudian.
Pesaing terdekat Bergson sebagai penjaring terbanyak ketika ini ialah penyerang Kuala Lumpur City (KL City) FC, Paulo Josue yang meledak 16 gol dan perbezaan besar itu menunjukkan pemain berusia 34 tahun itu hamper pasti mempertahankan statusnya.
Prestasi Bergson ketika ini juga berada pada tahap terbaik apabila meledak hatrik ketika JDT membelasah Kedah Darul Aman (KDA) FC 6-1 di Stadium Darul Aman dalam aksi terakhir Liga Super pada 29 Mac lalu.
Berdasarkan statistik di laman Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Bergson menjadi pemain paling banyak melakukan percubaan dengan 106 percubaan dan 50 daripadanya percubaan tepat. – UTUSAN










