MUNICH, Jerman: Bayern Munich perlu lebih tajam menjelang aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara berdepan Inter Milan di San Siro, awal pagi esok jika berhasrat mara ke separuh akhir.
Harry Kane akan mengetuai jentera serangan Bayern bagi merobek gawang Inter dan mereka perlu mencari gol awal terlebih dahulu, bagi memadam kelebihan satu gol dimiliki skuad kendalian Simone Inzaghi yang melakar kemenangan 2-1 di Munich, minggu lalu.
Dua perlawanan terakhir, Bayern hanya menjaringkan tiga gol daripada 46 percubaan ke arah gol sekali gus menunjukkan ketumpulan jentera serangan menerjemahkan peluang dalam bentuk jaringan.
Kunjungan ke San Siro juga menyaksikan Bayern terpaksa melupakan khidmat penjaga gol utama Manuel Neuer, pertahanan tengah Dayot Upamecano dan Hiroki Ito serta pemain sayap Alphonso Davies ekoran masalah kecederaan.
Malah, pemain tengah kreatif Jamal Musiala juga tidak dapat diturunkan namun pertahanan tengah Korea Selatan, Kim Min-jae yang dikritik kerana kesilapannya ketika menentang Borussia Dortmund dan sedang berdepan masalah kecederaan otot, dijangka diturunkan di San Siro.
Dengan masalah pertahanan goyah, kemampuan menjaringkan gol daripada setiap peluang yang ada menjadi faktor penting untuk memastikan impian beraksi di pentas akhir Liga Juara-Juara di Allianz Arena hujung Mei ini menjadi kenyataan.
Kane, 31, telah meledak 10 gol dalam 12 perlawanan UCL musim ini dan tidak menghadapi masalah menjaringkan gol dalam pusingan 16 terakhir serta aksi-aksi sebelumnya.
“Kami hanya perlu lebih klinikal dan memanfaatkan peluang dengan menjaringkan gol. Kami tiada pilihan selain menjaringkan sebanyak mungkin gol apabila berdepan Inter.
“Mungkin saya atau pemain lain tidak berada di tempat dan masa yang tepat, itu yang terjadi dalam dua perlawanan lalu. Jadi saya harap kami boleh ubah masalah itu pada perlawanan di San Siro,” kata Kane.
Pada dua perlawanan terakhir menyaksikan Bayern tewas 1-2 kepada Inter dan seri 2-2 dengan Dortmund Sabtu lalu meskipun skuad kendalian Vincent Kompany memiliki deretan peluang yang terhidang. – AGENSI/UTUSAN











