LONDON: Arsenal tidak boleh melepaskan peluang untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara berdasarkan kelebihan tiga gol menjelang kunjungan ke Stadium Santiago Bernabeu awal pagi esok.
Pada aksi suku akhir pertama di Emirates, pemain tengah The Gunners, Declan Rice mempamerkan aksi menakjubkan apabila meledak dua gol menerusi sepakan bola mati ketika membantu Arsenal menang 3-0.
Begitupun, pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengingatkan anak-anak buahnya mengenai tekanan besar bakal dihadapi di Bernabeu dan beliau berharap pemainnya dapat meneruskan momentum permainan seperti suku akhir pertama.
Arteta juga sedar juara Eropah 15 kali itu sering mencipta keajaiban dalam kejohanan ini, menjadikan beliau tidak akan berasa tenang sehingga wisel penamat dibunyikan.
“Tiada istilah kami sudah berada di separuh akhir kerana masih ada 90 minit permainan berbaki dan dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku namun pilihan itu terletak di tangan kami apabila memiliki kelebihan tiga gol.
“Tentunya tekanan berat bakal dihadapi kami di Bernabeu tetapi semua pemain sudah bersedia untuk menghadapinya dan mahu mara ke separuh akhir, seterusnya final,” katanya.
Arsenal yang belum pernah dinobatkan sebagai juara Eropah, kini mempunyai peluang untuk mencipta sejarah baharu buat kelab berkenaan selepas harapan untuk memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin sukar.
Dua musim lalu, Arsenal tewas tipis kepada Manchester City dalam perebutan kejuaraan EPL dan musim ini nasib sekali lagi kurang menyebelahi mereka apabila terpaksa bersaing dengan Liverpool yang cemerlang sejak awal musim di bawah kendalian Arne Slot.
Arsenal beberapa kali berpeluang memberi tekanan kepada pendahulu liga, namun 12 keputusan seri di EPL dan hanya dua kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir merugikan mereka.
Keputusan seri 1-1 menentang Brentford pada Sabtu lalu menyebabkan Gunners kini ketinggalan 13 mata di belakang Liverpool, yang boleh menamatkan saingan dengan kejuaraan liga ke-20 seawal hujung minggu depan.
“Untuk kejuaraan EPL, Kami masih ada enam perlawanan EPL, yang pastinya penting. Tetapi buat masa ini, semuanya tentang aksi berdepan Real (awal pagi Khamis),” tegasnya.
Walaupun Gunners berjaya mara ke separuh akhir, Paris Saint-Germain (PSG) dan Barcelona bakal menjadi halangan seterusnya kerana kedua-dua pasukan itu tampak meyakinkan, menjadikan laluan ke final lebih mencabar.
Arsenal berpeluang mencipta sejarah kelab di Eropah dalam beberapa minggu akan datang tetapi jika mereka gagal, musim ini mungkin akan berakhir dengan hambar. – AGENSI/UTUSAN
JADUAL
Real Madrid (0) lwn Arsenal (3)
Inter Milan (2) lwn Bayern Munich (1)










