PETALING JAYA: Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datin Anita Azrina Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baharu menggantikan Tan Sri Azman Yahya yang meletakkan jawatan.
SIC dalam kenyataannya berkata, Azman yang menyertai Lembaga Pengarah sejak 2010 dilantik sebagai pengerusi SIC pada 2016.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, sepanjang menggalas tugas, Azman telah membuktikan dirinya sebagai pemimpin yang berwawasan.
“Beliau berjaya mengubah SIC sebagai destinasi sukan pemotoran bertaraf dunia dan legasinya akan terus memberi inspirasi kepada generasi pemimpin seterusnya,” katanya.
Hannah turut mengalu-alukan pelantikan Anita yang mempunyai pengalaman luas di dalam sukan pemotoran dan juga penjenamaan strategik yang menjadikan beliau sebagai calon ideal mengisi jawatan penting itu.
Sementara itu, Azman mengucapkan terima kasih kepada pasukan SIC yang sebelum ini diketuai oleh Datuk Razlan Razali dan kemudiannya di bawah teraju Azhan Shafriman Hanif sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. – UTUSAN









