United perlu ramai macam Fernandes

United perlu ramai macam Fernandes

Bruno Fernandes mengambil sepakan percuma yang menerjah gawang Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Ruben Amorim mengakui Manchester United memerlukan lebih ramai pemain berjiwa besar seperti Bruno Fernandes untuk mengubah nasib pasukan itu pada masa akan datang.

Pujian itu datang selepas pemain tengah Portugal itu meledak gol menerusi sepakan percuma jarak jauh ketika The Red Devils terikat 1-1 dengan Arsenal di Old Trafford, semalam.

Sebelum ini, Fernandes ber­depan kritikan terhadap kepimpinannya dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan bekas kapten United, Roy Keane menggelarnya ‘penipu’.

Namun, dalam musim yang sukar untuk United berjuang di pentas domestik, Fernandes kerap menjadi sumber inspirasi yang jarang berlaku dan sentiasa menjadi penyelamat pasukan.

Jaringan cemerlangnya pada masa tambahan separuh masa pertama di Old Trafford adalah gol ke-12 musim ini, manakala penjaring gol kedua terbanyak United adalah Amad Diallo yang kini mengalami kecederaan dengan sembilan gol.

“Adakah kita memerlukan lebih ramai Fernandes? Itu jelas. Bukan sahaja kualitinya, tetapi karakter dimiliki. Kesediaannya dalam liga ini sangat pen­ting dan dia sangat berkesan dengan bola atau tanpa bola,” kata Amorim.

Bukan kali pertama sepanjang bulan-bulan pertama yang bermasalah di bawah kendalian Amorim, pasukannya membuktikan mampu bertahan apabila berdepan lawan lebih kuat.

United seri dengan pendahulu EPL yang jauh di depan, Liverpool Januari lalu, me­nyingkirkan Arsenal dari Piala FA dan mengalahkan Manchester City di tempat lawan pada awal musim ini.

Namun, mereka sering bergelut dalam perlawanan sepatutnya mereka menangi dan kini berada di tempat ke-14 dalam carta.

Walaupun bermain di laman sendiri, pasukan Amorim hanya menguasai 30 peratus penguasaan bola dan beliau menjelaskan, dia tidak mahu bermain dengan gaya bertahan. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN