Tinggalkan United jika mahu menang piala

Tinggalkan United jika mahu menang piala

BRUNO FERNANDES
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Bekas pemain Chelsea, Joe Cole berkata, kapten Manchester United, Bruno Fernandes perlu me­ninggalkan Red Devils jika berhasrat menjulang lebih banyak trofi dalam kariernya.

Ketika ini, pemain tengah Portugal itu meledak 16 gol dan melakukan 15 umpanan gol untuk United, walaupun musim ini merupakan antara kempen terburuk dalam sejarah kelab.

Pemain berusia 30 tahun itu meledak hatrik ketika menentang Real Sociedad untuk membantu United mara ke suku akhir Liga Europa dan ia menjadi satu-satunya trofi yang mampu dimenangi mereka musim ini.

Bagaimanapun, arkitek tengah yang banyak menyelamatkan United dikritik bekas kap­ten, Roy Keane yang mempersoalkan kewibawaannya se­bagai ketua pasukan.

Cole berkata, Fernandes pastinya kecewa dikritik walaupun beraksi cemerlang untuk United dan dia perlu mencari pasukan yang mampu memberikan trofi.

Untuk rekod, Fernandes menjaringkan 95 gol dan 81 bantuan gol dalam 277 pe­nampilan sepanjang bersama United.

“Jika saya menjadi Fernandes, saya akan tinggalkan United. Dia pastinya tertanya-tanya, kenapa semua orang mengkritiknya sedangkan dia yang bertungkus-lumus membantu pasukan.

“Ada pemain lain turut menyerlah, tetapi dia yang dilihat bekerja keras menyelamatkan pasukan dalam tempoh sukar ini. Sekiranya Fernandes me­ninggalkan United dan kelab kembali ke puncak, mereka akan lihat kembali era ini dan hanya Fernandes yang menyinar.

“Dia pemain bola hebat yang boleh menyertai mana-mana pasukan, tetapi saya tidak rasa dia pernah memenangi liga dalam kariernya. Jadi dia perlu menyertai pasukan yang mampu memenangi trofi kerana dia sudah mencuba nasib bersama United,” kata Cole.

Sejak bersama United pada tahun 2020, Fernandes ha­nya menjulang trofi Piala Liga pada musim 2023 dan Piala FA Mei lalu. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN