Tiada pilihan wajib kalahkan Vietnam

Tiada pilihan wajib kalahkan Vietnam

JAMAL NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya tidak mempunyai pilihan selain menewaskan Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 untuk menghuni tangga teratas kumpulan.

Bekas pemain skuad Olimpik Moscow 1980, Datuk Jamal Nasir berkata, tidak menjadi masalah kepada Malaysia untuk menewaskan Vietnam memandangkan kedua-dua negara itu sering bertemu di pentas antarabangsa terutamanya dalam kejohanan Piala ASEAN.

“Kita kena menang lawan Vietnam nanti. Tiada pilihan. Jika dilihat, Vietnam adalah pasukan dari ASEN yang sering kita berjumpa sebelum ini. Jadi kita sudah biasa menentang mereka.

“Ada masa kita kalah, ada masa kita seri dan ada masa kita menang namun untuk kali ini kita tidak ada pilihan selain menang. Pemain perlu menukar segala peluang yang ada kepada kemenangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam saingan peringkat kelayakan tersebut, hanya juara kumpulan sahaja diberikan slot automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi dan ketika ini Vietnam menduduki tangga teratas selepas membelasah Laos 5-0 pada aksi pertama, Selasa lalu.

Kata Jamal, aksi perlawanan Vietnam menentang Laos perlu dikaji secara terperinci dan mengenal pasti kelemahan serta kekuatan yang dimiliki pasukan tersebut selain memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri.

Vietnam kini menduduki ranking ke-114 dunia berbanding Malaysia di tangga ke-132 dan sebagai persiapan, Jamal turut berkata skuad kendalian Peter Cklamovski perlu mengadakan sekurang-kurangnya dua aksi persahabatan.

“Ranking pasukan memainkan peranan yang mana ia memberi kelebihan kepada pasukan yang lebih bagus tetapi saya fikir jurulatih tahu apa yang dia perlu lakukan.

“Harimau Malaya perlu mengadakan dua aksi persahabatan sebelum menentang Vietnam di mana satu aksi pada awal Mei dan satu lagi di pertengahan Mei. Namun, semuanya terpulang kepada jurulatih,” katanya.

Rekod pertemuan terakhir Harimau Malaya menentang Vietnam menyaksikan skuad kebangsaan tewas 0-3 dalam Kejohanan Piala AFF pada Disember 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×