PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Joehari Mohd. Ayub kena bertindak segera bagi merancakkan program pembangunan bola sepak akar umbi negara.
Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd. Sadek Mustafa berkata, program pembangunan akar umbi telah dipinggirkan sejak 2019 dan kini sudah tiba masanya ia kembali mendapat tempat dalam badan induk itu.
“Sudah tiba masanya FAM melabur untuk program pembangunan akar umbi yang terhenti sejak 2019. Sampai sekarang tiada apa-apa yang boleh dibanggakan, mereka hanya bercakap tentang AMD (Akademi Mokhtar Dahari).
“Kalau fokus, kita akan ada dan mampu lahirkan pemain berbakat dan perkara ini tidak mustahil untuk dilakukan.
“Sekarang kita asyik lihat cantiknya bulan dan bintang (pemain warisan) luar negara, tetapi kita tiada inisiatif untuk hasilkan pemain berkualiti. Jawapannya mudah, mantapkan program pembangunan.
“Beliau kena bertindak segera rancakkan program pembangunan. Itu yang lebih penting pada ketika ini untuk masa depan bola sepak negara,” kata Mohd. Sadek kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Mohd. Joehari melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.
Ia turut disertai oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang juga mantan Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd. Amin.
Pada pertemuan itu, Mohd. Joehari berkongsi agenda terkini hala tuju bola sepak negara terutama bagi memperkasakan pembangunan peringkat remaja dan akar umbi.
Selain itu, perkembangan terkini tentang persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini turut dibentangkan. – UTUSAN










