PETALING JAYA: Bintang skuasy No. 5 dunia, S. Sivasangari sedar dia menjadi sasaran lawan, tetapi, pilihan pertama itu berjanji tidak akan membenarkan sesiapapun menyekat hasratnya mempertahankan pingat emas pada perlawanan akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Nagoya, Jepun, hari ini.
Semalam, pemain berusia 27 tahun itu hanya mengambil masa selama 19 minit untuk mengetepikan pemain No. 21 dunia, Chan Sin Yuk dari Hong Kong 11-6, 11-8, 11-7 pada separuh akhir di Nagoya Kinju-Futo Arena.
Wakil India, Anahat Singh menanti Sivasangari di pentas akhir, selepas pemain muda berbakat besar yang menghuni ranking No. 17 dunia itu mengejutkan bintang No. 6 dunia, Satomi Watanabe dari Jepun 9-11, 11-13, 12-10, 11-6, 11-3 dalam masa 51 minit.
Sivasangari berkata, Anahat merupakan pemain muda yang sedang meningkat naik dan dia menjangkakan perlawanan akhir, hari ini, tidak mudah.
“Anahat memang bintang yang sedang meningkat naik, tapi saya tidak mahu memanggilnya begitu terlalu awal walaupun dia muda. Gembira untuk perlawanan esok (hari ini).
“Sudah tentu ia sukar, tapi sekali lagi, tiada tekanan untuk dia, mungkin sedikit di bahu saya. Tapi saya telah berlatih untuk perlawanan seperti ini secara mental dan fizikal, jadi saya harap ia membuahkan hasil,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir, semalam.
Menurutnya, semua pemain yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘underdog’ akan cuba mencari ruang untuk menewaskan pemain yang menghuni ranking lebih tinggi dan ia telah dibuktikan menerusi perlawanan antara Anahat dan Watanabe.
“Saya rasa lebih elok jangan fikir banyak sangat, cuba lawan untuk setiap mata, saya tidak mahu mengalah dan lepaskan mata dengan mudah. Jadi saya gembira dengan cara saya fokus kepada permainan saya,” ujarnya.
Sementara itu, dalam aksi separuh akhir perseorangan lelaki, Ng Eain Yow yang menghuni ranking No. 18 dunia menyingkirkan pemain ke-29 dunia, Zaman Noor dari Pakistan 11-7, 11-2, 11-4 dalam masa 22 minit.
Pemain berusia 28 tahun itu akan menghitung pertemuan dengan wakil India, Abhay Singh yang berada di ranking ke-26 dunia pada perlawanan akhir.
Seperti mana Sivasangari, Eain Yow juga dalam misinya mempertahankan pingat emas pada Temasya Hangzhou dan juga tiket automatik ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles. – UTUSAN











