PETALING JAYA: Peminat bola sepak tanah air perlu bersikap terbuka dan memandang positif terhadap usaha membawa masuk pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya yang bertujuan untuk memperkuatkan pasukan bola sepak kebangsaan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli mengakui kritikan sudah pasti ada, namun perkembangan tersebut membuktikan revolusi Harimau Malaya yang dipimpin oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail sedang bergerak aktif.
Katanya, seramai mana pun pemain warisan yang ingin dibawa masuk tidak menjadi masalah selagi mereka benar-benar mempunyai darah kacukan dari Malaysia.
“Kita tidak boleh salahkan pemain warisan kerana mereka memiliki pertalian darah dengan negara ini berbanding pemain naturalisasi dan untuk mencari pemain warisan ini mengambil masa yang lama.
“Kita kena positif, kalau ambil pemain warisan gred A, saya fikir seberapa ramai pun tak ada masalah sebab kita kena positif kerana mereka ini memang bagus.
“Kalau dilihat pemain warisan terbaharu, Hector Hevel yang baharu menyertai pasukan sudah mencetak gol pada aksi pertamanya bersama Harimau Malaya jadi di situ kita nampak pemain yang Tunku Mahkota Ismail cari ini berkualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Tunku Mahkota Ismail memberitahu tujuh lagi pemain Malaysia di luar negara akan menyertai pasukan dalam masa terdekat.
Perkembangan itu hadir selepas Malaysia menewaskan Nepal 2-0 dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Selasa lalu dan Hevel menjadi antara watak penting terhadap kemenangan tersebut.
Pemain tengah kelahiran Belanda itu menunjukkan prestasi cemerlang dengan menjaringkan gol pertama perlawanan selain mencipta beberapa peluang di bahagian jentera serangan untuk memburu gol. – UTUSAN











