Nepal laung amaran selepas benam Singapura

Nepal laung amaran selepas benam Singapura

SKUAD Harimau Malaya akan berdepan Vietnam pada 10 Jun depan dalam aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya diingatkan berwaspada dengan ancaman Nepal terutama selepas lawannya itu menjinakkan jiran tetangga, Singapura 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa yang berlangsung di Stadium Nasional, kelmarin.

Singapura yang memiliki ranking lebih tinggi daripada Nepal iaitu ke-160 dunia berbanding skuad kendalian Matt Ross di tangga ke 175 dunia sekali gus memberi amaran kepada skuad kebangsaan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa ini.

Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kedudukan ranking bukan jaminan buat sesebuah pasukan itu memiliki kelebihan di atas padang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, walaupun Malaysia berada di ranking lebih tinggi berbanding Nepal iaitu di tangga ke-135 dunia namun kedudukan itu tidak mampu memberi jaminan kepada kemenangan jika pasukan gagal memperagakan aksi terbaik di atas padang.

“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku kerana bila di atas padang kedudukan ranking tidak memberi jaminan untuk menang jika pasukan itu bermain di bawah tahap sebenar.

“Walaupun di atas kertas Malaysia menjadi pilihan untuk menang ke atas Nepal tetapi ia tidak boleh diambil mudah oleh pemain-pemain kita dan memandang rendah keupayaan lawan. Ketika saya menjadi jurulatih, saya selalu ingatkan setiap pemain tidak memandang rendah sesiapa sahaja lawan kita.

“Tetapi buat masa sekarang skuad negara di bawah jurulatih baharu (Peter Cklamovski), kita kena beri peluang dan lihat dulu hasil kerjanya macam mana. Saya tidak boleh komen lebih-lebih kerana dia sendiri belum mengendali sebarang perlawanan untuk Harimau Malaya,” kata Irfan kepada Utusan Malaysia, semalam.

Untuk rekod, Malaysia dengan Nepal telah bertemu sebanyak empat kali dengan skuad negara mencatat tiga menang dan satu seri.

Dua perlawanan terakhir melibatkan kedua-dua pasukan menyaksikan Malaysia menang 4-1 pada Mac 2024 dan 2-0 (Jun 2019) sekali gus menunjukkan skuad Harimau Malaya memiliki rekod yang baik menentang Nepal.

Sementara itu, bekas pemain negara, Azlan Johar optimis kemenangan mampu dicatat Harimau Malaya ke atas Nepal kerana selain memiliki barisan pemain berkualiti, kelebihan bermain di laman sendiri juga memberi motivasi tambahan.

“Kalau lihat barisan pemain yang dipanggil kali ini, rata-rata pernah bermain bersama dan saya percaya kemenangan mampu menjadi miliki kita pada aksi berdepan Nepal. Ketika ini mungkin kekangan pemain adalah cuma menerima secepat mungkin pendekatan baharu daripada jurulatih Cklamovski,” jelasnya.

Pasukan kebangsaan mempunyai misi besar iaitu memburu slot ke Piala Asia 2027 bagi memastikan Malaysia menyertai kejohanan berprestij itu buat kali kedua berturut-turut.

Selain Nepal, skuad Harimau Malaya akan berdepan Laos dan Vietnam yang juga berada dalam Kumpulan F di mana hanya juara kumpulan sahaja akan layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi nanti. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×