PETALING JAYA: Pemain sayap lincah Selangor FC, Faisal Halim atau lebih popular dengan gelaran ‘Mickey’ dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mengakui rindu untuk kembali ke zaman kegemilangannya dan menyarung jersi Harimau Malaya.
Mickey yang menjadi mangsa simbahan asid Mei tahun lalu, kembali mendapatkan semula rentak cemerlangnya di padang dan terbaru dia meledak hatrik ketika Gergasi Merah membelasah Kelantan Darul Naim (KDN) FC 7-0 pada Sabtu lalu.
“Sudah tentu rindu, hampir setahun Mickey tak bersama pasukan kebangsaan. Mickey tak letak harapan yang tinggi. Sekiranya Mickey layak, InsyaAllah Mickey akan beri yang terbaik.
“Sekiranya belum sampai waktu Mickey bersama pasukan, itu bukan satu keputusan untuk Mickey patah semangat. Mickey perlu bekerja keras lagi dalam pasukan, tambah baik diri sendiri untuk lebih baik dan pasukan kebangsaan.
“Mickey rasa tak pasti sama ada layak bersama skuad kebangsaan untuk waktu terdekat atau nanti. Kalau diberi peluang dalam masa terdekat, satu cabaran besar untuk diri Mickey jugalah untuk bantu pasukan,” katanya.
Ketika ini, barisan pemain yang diinginkan Peter Cklamovski untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac ini masih ‘misteri’ dan dijangka pengumuman senarai pemain akan dibuat dalam masa terdekat.
Berdasarkan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), rehat antarabangsa bermula 17 Mac ini dan itu bermakna skuad Harimau Malaya tidak mempunyai masa yang lama untuk melakukan persiapan menentang Nepal di SSI.
Sepanjang bersama skuad kebangsaan sebelum ini, Faisal berjaya membentuk gandingan hebat dengan Arif Aiman Hanapi dan perlawanan paling diingati pastinya ketika mengikat Korea Selatan 3-3 pada aksi peringkat kumpulan Piala Asia 2023.
Lebih manis, gol yang dijaringkan pemain berusia 27 tahun kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang dalam aksi tersebut turut diiktiraf sebagai gol terbaik Piala Asia 2023 yang juga menjadi sejarah baharu buat bola sepak Malaysia. – UTUSAN










