'Kelab masih berhutang RM11,500 kepada saya'

‘Kelab masih berhutang RM11,500 dengan saya’

Faizal Saari (kiri) meluahkan rasa kecewanya kerana masih belum menerima tunggakan gaji daripada kelab di Oman. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kelab ini masih berhutang RM11,500 kepada saya dan bukan saya seorang sahaja yang terjejas, malah ramai pemain antarabangsa dari Australia, Korea Selatan, dan Pakistan turut mengalami masalah sama,”

Bekas pemain kebangsaan, Faizal Saari, meluahkan rasa kecewa apabila masih belum menerima bayaran gaji sebanyak RM11,500 daripada Kelab Hoki Al-Nasr selepas beraksi dalam saingan Liga Hoki Oman, tahun lalu.  

Penyerang berusia 34 tahun itu menyatakan rasa tidak puas hati terhadap liga berkenaan serta Persekutuan Hoki Oman menerusi satu hantaran di Instagram Story, kelmarin.  

Menurut Faizal, bukan sahaja beliau, malah rakan sepasukannya dari Korea Selatan, Jang Jong-hyun, turut menghadapi situasi sama apabila gaji mereka masih tertunggak lebih empat bulan tanpa sebarang perkembangan.  

“Saya amat kecewa kerana perkara ini terus berulang walaupun saya berharap kali ini ia berbeza. Setiap kali saya bertanya mengenai bayaran, mesej dan panggilan saya tidak dilayan, malah kapten pasukan sendiri tidak memberi sebarang maklum balas.  

“Kelab ini masih berhutang RM11,500 kepada saya dan bukan saya seorang sahaja yang terjejas, malah ramai pemain antarabangsa dari Australia, Korea Selatan, dan Pakistan turut mengalami masalah sama,” kata Faizal kepada Utusan Malaysia.  

Sementara itu, beliau percaya kelewatan pembayaran mungkin berpunca daripada kegagalan pasukan merangkul kejuaraan liga, namun menegaskan bahawa tindakan kelab itu tetap tidak boleh diterima kerana pemain telah menjalankan tanggungjawab mereka secara profesional.  

“Saya rasa mereka tidak berpuas hati kerana kami hanya menamatkan saingan di tempat keempat, tetapi itu bukan alasan untuk menafikan hak kami sebagai pemain profesional.

“Saya juga mendengar bahawa pengurusan Al-Nasr telah bertukar baru-baru ini, tetapi itu bukan masalah saya. Apa yang penting, gaji perlu dibayar,” katanya.  

Faizal berharap Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dapat membantu mengemukakan aduan rasmi kepada Persekutuan Hoki Oman (OHA), memandangkan beliau sendiri tidak mahir dalam urusan dokumentasi rasmi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN