Kehadiran Hevel, Palmero wujudkan saingan sihat

Kehadiran Hevel, Palmero wujudkan saingan sihat

Pemain skuad Harimau Malaya menjalani latihan harian di Johor Bahru, kelmarin sebagai persiapan menentang Nepal dalam kelayakan Piala Asia 2027 pada Selasa depan. – IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kehadiran dua pemain warisan Hector Hevel dan Gabriel Palmero akan memperkuatkan lagi pasukan kebangsaan yang membuat persiapan untuk aksi pusingan ketiga Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini Selasa ini.

Pemain kebangsaan, Syamer Kutty Abba berkata, kehadiran mereka turut mewujudkan persaingan sihat dalam kem Harimau Malaya, seterusnya membakar semangat pemain untuk memberikan persembahan terbaik.

“Saya rasa semestinya pemain warisan yang baharu menyertai kem latihan ini akan membantu pasukan dan mewujudkan saingan yang lebih sihat dari setiap posisi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kehadiran mereka juga akan menaikkan komposisi pasukan dan secara tidak langsung menaikkan prestasi setiap pemain dalam pasukan.

“Selain itu, pemain berdarah Malaysia di luar negara ini juga akan menaikkan nama Harimau Malaya di pentas antarabangsa,” katanya.

Sesi latihan Harimau Malaya yang memasuki hari ketiga mencuri tumpuan peminat bola sepak dengan kehadiran Hevel dan Palmero yang buat pertama kali berlatih bersama-sama skuad kebangsaan.

Menerusi satu ciapan dalam Instagram Malaysia National Team, kelibat Hevel dan Pal­mero dilihat berlatih bersama sambil dipantau oleh Ketua Jurulatih Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain yang turut membantu Peter Cklamovski pada latihan pusat kali ini.

Dua pemain warisan baharu itu sedang menanti untuk di­umumkan secara rasmi sebagai anggota baharu Harimau Malaya.

Dalam pada itu, Syamer Kutty bersedia memberikan segalanya bagi mendapat tempat dalam skuad kebangsaan termasuk bermain di posisi yang berbeza.

Pemain tengah Pulau Pinang FC itu berharap dapat menjadi pilihan Cklamovski setelah mampu beraksi di beberapa posisi, sekali gus memberikan fleksibiliti buat ketua jurulatih kelahiran Australia itu menco­ngak percaturan terbaiknya.

“Saya boleh beraksi di dua ke tiga posisi dalam pasukan. Jadi, itu akan beri kelainan kepada ke­tua jurulatih dan saya harap sa­ngat apa yang saya boleh berikan ini akan dapat membantu pasukan dalam perlawanan nanti.

“Saya rasa mungkin ada perubahan posisi, baik kekal di bahagian tengah atau ditukarkan ke bek tengah. Apa pun posisi yang diberikan, saya akan memberikan yang terbaik untuk terpilih dalam kesebelasan utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×