PETALING JAYA: Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik perlu segera bangkit dan melupakan kekecewaan selepas tersingkir awal di Kejohanan Masters Orleans kelmarin.
Bekas pemain beregu legenda negara, Datuk Razif Sidek berkata, pasangan No. 5 dunia itu perlu segera bangkit dan perlu fokus kepada Kejohanan All England 2025 yang bakal membuka tirai pada 11 hingga 16 Mac di Arena Birmingham, England.
Katanya, kekalahan pada pusingan pertama kejohanan tersebut adalah satu petanda kurang baik menjelang Kejohanan All England yang bakal berlangsung minggu depan.
“Kita amat mengharapkan mereka mampu sekurang-kurangnya melangkah ke separuh akhir atau final, tetapi mereka terkandas awal. Ini bukan petanda baik kerana mereka tiada kejohanan lain sebelum ini untuk dijadikan persiapan.
“Jadi, kita harap mereka mampu bangkit dan menjadikan kekalahan ini sebagai satu wake-up call,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Razif turut berpandangan bahawa tempoh singkat sebelum bermulanya All England sukar untuk melakukan perubahan drastik, namun aspek taktikal dan strategi boleh diperbaiki.
“Saya tak fikir banyak yang boleh dilakukan dalam tempoh seminggu dua ini, tetapi mungkin dari segi strategi dan persediaan mental boleh ditambah baik.
“Mereka perlu lebih serius dan fokus dalam misi meraih keputusan terbaik di All England. Kejohanan ini adalah antara yang paling berprestij, jadi pemain harus sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa sekiranya terdapat pemain yang mengalami kecederaan, lebih baik untuk memberi tumpuan kepada kejohanan lain daripada memaksa mereka bertanding dalam keadaan tidak bersedia sepenuhnya.
Sementara itu, beliau turut meletakkan harapan kepada gandingan beregu Goh Sze Fei dan Izzuddin Rumsani, yang dilihat semakin menunjukkan peningkatan prestasi.
“Kita harap mereka mampu berikan kejutan kerana sejak kebelakangan ini, prestasi mereka ada peningkatan. Ini peluang untuk mereka membuktikan sesuatu di pentas All England,” jelasnya.
Kali terakhir beregu lelaki negara merangkul kejuaraan di All England pada tahun 2007 menerusi pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. – UTUSAN











