PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menghadirkan kejutan buat Buriram United menjelang aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Chang Arena, Buriram, Thailand, malam ini.
Kehadiran tiga tonggak import baharu, Jonathan Viera, Alvaro Gonzalez dan Anselmo Moraes yang menggantikan Raquel Mesa dan terbaharu membawa masuk bekas pemain AC Milan, Samu Castillejo bakal menambah ‘sengat’ skuad Harimau Selatan.
Keputusan seri tanpa jaringan pada aksi liga ACLE antara kedua-dua pasukan sebelum ini mungkin bakal berubah namun pengendali JDT, Hector Bidoglio tetap merendah diri dan menuntut barisan kesebelasan utama yang diturunkan supaya beraksi dengan lebih tenang.
Bidoglio menyeru anak buahnya untuk memastikan intensiti permainan sentiasa berada di tahap terbaik dan berharap untuk tidak membuat kesilapan mudah.
“Ketika aksi di Stadium Sultan Ibrahim, 4 Disember lalu, Jonathan, Alvaro dan Anselmo tidak beraksi. Tetapi untuk aksi malam esok (hari ini), kehadiran mereka akan memperkukuhkan lagi pasukan ditambah dengan kehadiran Samu.
“Kejayaan menjuarai Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut meningkatkan lagi motivasi setiap pemain untuk bersedia mengharungi satu lagi cabaran getir dan saya sendiri mahu memastikan persiapan yang dibuat berada dalam keadaan memuaskan kerana kita mahu pergi jauh.
“Justeru, saya perlu berkomunikasi dengan pemain bagi memastikan mereka berada di tahap permainan yang memuaskan kerana dalam sukan bola sepak jika kita tidak berkomunikasi dan memahami kehendak pemain maka sukar membentuk taktikal yang ampuh,” katanya.
Pengendali dari Argentina itu juga tidak menafikan kemampuan Buriram, malah lawannya itu turut memperkuatkan pasukan dengan membawa masuk tiga pemain baharu iaitu Martin Boakye, Ko Myeong-sok dan Suphanat Mueanta.
Begitupun, Bidoglio mahu memberi fokus sepenuhnya kepada taktikal dan anak buahnya berbanding memikirkan kekuatan Buriram.
“Beraksi di hadapan penyokong sendiri tentunya memberi kelebihan kepada Buriram namun ia juga bakal berubah kepada tekanan buat mereka. Kami akan beri yang terbaik dalam tempoh 90 minit permainan.
“Bertahan dan menyerang perlu diseimbangkan, paling penting bermain sebagai satu pasukan. Setiap peluang dicipta perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan harap keputusan positif mampu dicatat di sini,” jelasnya.
Selepas aksi pertama di Buriram, JDT bakal melayan kunjungan kelab gergasi Thailand itu di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Mac ini. -UTUSAN










