PETALING JAYA: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim berjanji akan membawa masuk pemain lebih berkualiti musim depan.
Pemangku Sultan Johor itu berkata demikian selepas langkah JDT tersekat di pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila tewas secara agregat 1-0 di tangan Buriram United, sekali gus menghancurkan peluang terbaik Harimau Selatan mara ke suku akhir.
Enggan menyalahkan sesiapa, Tunku Mahkota Ismail mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan mengakui sudah merangka beberapa perubahan untuk memperkasakan skuad Harimau Selatan.
“Saya bertekad untuk meletakkan Johor di peta bola sepak dan bersaing dengan pasukan terbaik di Asia serta komited untuk terus membuat pelaburan bagi memperkukuh JDT di dalam dan luar padang.
“Kami telah mengenal pasti beberapa kelemahan di dalam pasukan dan sudah pun mempunyai perancangan baharu sejak beberapa bulan yang lepas.
“Kami sedang menunggu jendela perpindahan dibuka semula sebelum musim hadapan,” kata Tunku Mahkota Ismail.
Dalam aksi timbal balik itu, Buriram United meraih gol tunggal perlawanan menerusi lencongan cantik Suphanat Mueanta pada minit ke-58, untuk membawa juara 10 kali Liga Thailand itu beraksi di pusingan lapan terbaik ACLE musim ini di Arab Saudi.
Mengulas mengenai perlawanan, Tunku Mahkota Ismail mengakui, beberapa keputusan pengadil turut mempengaruhi keputusan perlawanan itu namun beliau tetap berbangga dengan sikap tidak berputus asa pemain sepanjang 90 minit aksi tersebut.
“Ia sentiasa menjadi satu penghormatan dan keistimewaan bagi JDT untuk beraksi dalam kejohanan elit Asia. Saya berbangga dengan kelab ini yang berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi.
“Namun, kami tidak bernasib baik untuk tersingkir dengan cara sebegini dalam perlawanan malam tadi, termasuk beberapa keputusan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada lebih 30,000 penyokong setia yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim untuk memberi sokongan padu kepada JDT.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong JDT atas sokongan luar biasa di Stadium Sultan Ibrahim. Ia sekali lagi mencatat kehadiran tertinggi di laman sendiri.
“Kepada Buriram United, tahniah dan semoga berjaya di pusingan seterusnya,” ujarnya. – UTUSAN










