NILAI integriti dan kehidupan manusia sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana ia membabitkan soal maruah diri dan amalan harian setiap individu.
Integriti sewajarnya menjadi perhiasan diri berbentuk aset dan khazanah bernilai tinggi yang perlu dipelihara dan dipertahankan tanpa mengira agama, bangsa mahupun jantina dan umur.
Ironinya setiap agama di dunia ini mengajar, mendidik dan menganjurkan penganutnya membuat kebaikan, berlaku jujur dan adil serta melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh amanah.
Dalam agama Islam misalnya, nilai integriti terutamanya sifat amanah sentiasa dilihat sebagai cerminan kepada tahap keimanan setiap muslim.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfaal ayat 27 bermaksud: “Wahai orang beriman, jangan kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (jangan) kamu mengkhianati amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
Malah empat nilai keperibadian dan sifat terpuji Nabi Muhammad SAW sentiasa menjadi suri teladan dan rujukan teras kepada nilai integriti iaitu siddiq (sangat benar), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana).
Namun yang menjadi masalahnya ialah naluri manusia yang mudah terperangkap dengan jerat nafsu dan tamak hingga akhirnya menyebabkan integriti hanya menjadi aksesori tambahan yang tidak dipedulikan serta diberi keutamaan sebagai perisai kehidupan.
Tangkapan demi tangkapan yang dibuat pihak berkuasa membabitkan pelbagai lapisan anggota masyarakat yang terlibat dengan salah laku integriti seperti rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan dan melanggar undang-undang membuktikan penyakit sosial ini semakin membarah dan terus menular sebagai virus yang sukar dikawal.
Jujurnya masalah defisit integriti pada ketika ini cukup membimbangkan dan anggota masyarakat perlu lebih cakna dan memahami makna sebenar integriti yang tidak hanya terhad kepada soal rasuah, salah guna kuasa mahupun penyelewengan semata-mata.
Integriti melibatkan soal kejujuran dan nilai-nilai murni yang perlu ada pada setiap individu atau organisasi secara menyeluruh yakni membabitkan aspek kesempurnaan dalam kehidupan dan amalan seharian.
Harus diingat sikap dan tingkah laku seperti bertanggungjawab, adil, amanah, jujur, mematuhi peraturan yang sepatutnya memandu kehidupan dan aktiviti manusia mula terhakis. Akibatnya tiada lagi rasa malu, segan mahupun takut untuk melanggar peraturan dan etika yang sepatutnya dijadikan panduan hidup.
PUPUK DARI AWAL
Jujurnya integriti tidak boleh diwarisi sebaliknya perlu dipupuk, diasuh dan dididik sejak dari kecil supaya menjadi pegangan dan amalan sepanjang hayat sebagai budaya yang kekal dan wajib. Malah perlu ada iltizam yang kuat untuk terus berusaha memperbaiki kelemahan supaya dapat menutup jurang defisit integriti yang ada dalam diri sendiri.
Mana mungkin kita mampu membina masyarakat madani yang bermaruah jika nilai integriti semakin terhakis. Justeru sudah tiba masanya untuk kita sedar dan perbaiki kelemahan dan kepincangan yang ada dengan menjadikan integriti sebagai kompas kehidupan.
Integriti perlu diterima dan dipraktik sebagai amalan yang menjadi kompas dalam kehidupan seseorang supaya dapat melahirkan masyarakat yang jujur dan amanah.
Dalam persekitaran kehidupan yang penuh dengan cabaran, dugaan dan godaan, menjadikan integriti sebagai kompas kehidupan bukan lagi satu pilihan sebaliknya perlu dilihat sebagai wajib dan bijak.
Kita perlu sedar kepentingan nilai integriti dalam kehidupan seharian baik sebagai anak, suami dan isteri, ibu dan bapa, pekerja sektor awam mahupun swasta. Hal ini penting untuk difahami kerana integriti mempunyai peranan besar dalam pembentukan karakter seseorang individu.
Harus diingat integriti sifatnya organik, ia perlu terus diperkasakan dengan tahap kesedaran yang tinggi kerana setiap orang mudah terpengaruh dan tergoda dengan pelbagai ujian yang dihadapinya.
Misalnya seseorang yang diberi jawatan dan kuasa dalam sesebuah organisasi akan cenderung untuk menggunakan kedudukan dan kuasa tersebut untuk kepentingan diri dan keluarga selain mendorong budaya meminta dan menerima rasuah apabila keadaan membenarkan terutamanya bila berlaku godaan atau dugaan.
Jadi jika integriti tidak terus diperkasa maka individu yang selama ini jujur dan amanah juga mudah terpalit dengan penyakit sosial ini dan akhirnya boleh membawa kerosakan bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi orang lain dan organisasi.
Anggota masyarakat perlu cakna betapa tafsiran integriti cukup luas dan memerlukan pemahaman yang jelas. Ironinya selain terlibat dengan kesalahan besar seperti rasuah dan penyelewengan, tanpa disedari setiap hari kita melakukan pelbagai pelanggaran integriti, antaranya buang sampah dari kenderaan, tidak menepati janji, hadir ke mesyuarat atau majlis tidak tepat pada masanya, memotong barisan ketika mendapatkan sesuatu perkhidmatan, menipu pasangan, menaikkan harga barangan jualan sehingga menzalimi pengguna dan kesalahan melanggar lampu isyarat merah. Ini adalah antara contoh kesalahan harian yang dibuat dan adakah kita sedar perbuatan ini sebenarnya menunjukkan masalah defisit integriti?
Oleh itu, kita perlu berpegang teguh kepada prinsip tidak kompromi dan tolak ansur apa jua tingkah laku yang meragut nilai integriti diri. Ringkasnya, masing-masing perlu jujur pada diri sendiri dalam setiap tingkah laku dan tidak sama sekali melanggar peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kita juga perlu berani menegakkan kebenaran yakni tegas mempertahankan nilai dan maruah diri. Jangan bagi alasan untuk menerima rasuah atau melanggar peraturan sebaliknya buktikan kita utamakan jati diri sebagai warganegara yang bertanggungjawab berkompaskan integriti.
Baik ketika di rumah, pejabat, atas jalan raya mahupun ketika urusan jual beli, integriti perlu jadi kompas atau panduan yang mencorakkan setiap tindakan dan tingkah laku kita. Ringkasnya, setiap gerak geri perlulah berpaksikan integriti.
Pada masa sama jangan juga tutup mata dan telinga sekali gus kompromi dengan salah laku yang berlaku di sekeliling kita sebaliknya berani bertindak sama ada menegur atau membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya ianya tidak membarah.
Integriti ini umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang amat kelam, justeru, jangan berpura-pura atau menipu diri sendiri sebaliknya tingkatkan iltizam dan jadikan integriti sebagai kompas kehidupan supaya dapat memelihara maruah diri, keluarga dan negara. –UTUSAN
PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK) Universiti Putra Malaysia (UPM).









