Istilah Harimau Malaya diswastakan tidak wujud - FAM 

Istilah Harimau Malaya diswastakan tidak wujud – FAM 

JOEHARI MOHD AYUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan tanggapan segelintir pihak yang menyifatkan badan induk bola sepak itu tidak memiliki ‘kuasa’  atau sudah bercerai dengan skuad Harimau Malaya adalah tidak benar.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menegaskan, badan induk itu tidak pernah melepaskan ‘pegangan’ ke atas skuad kebangsaan kerana mereka masih berada di bawah FAM sekalipun kini diuruskan oleh unit yang berbeza.

“Harimau Malaya di bawah FAM, jadi tiada istilah Harimau Malaya dan FAM berpisah ataupun identiti yang berbeza. Jadi hala tuju kita masih pergi ke pembangunan dan kesemuanya.

“Harimau Malaya memang di bawah jawatankuasa pasukan kebangsaan dan struktur ini memang dalam FAM,” kata Joehari ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa FAM di Kuala Lumpur, kelmarin.

Terdahulu, timbul persoalan khususnya dalam kalangan penyokong selepas perkembangan skuad kebangsaan kini dikemaskini dalam akaun yang berbeza iaitu Malaysia NT berbanding di laman rasmi FAM sebelum ini.

Keadaan itu menyebabkan penyokong mula berpendapat adalah skuad kebangsaan di bawah kendalian Peter Cklamovski kini sudah diasingkan dan tidak lagi bersama dengan FAM.

Dalam perkembangan lain, Joehari turut mendedahkan kehadiran Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail adalah untuk membantu pengurusan skuad kebangsaan dapat berjalan dengan lebih lancar.

“Tunku Mahkota Ismail datang untuk membantu. Jadi kita ucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Ismail kerana membantu kita merealisasikan hasrat untuk Harimau Malaya maju ke depan.

“Kita alu-alukan sesiapa sahaja yang datang untuk memberi bantuan kepada FAM dan Tunku Mahkota Ismail amat membantu dengan persiapan kita,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman,  berkata FAM turut memainkan peranan dalam urusan kemasukan pemain warisan baharu bagi memantapkan skuad kebangsaan.

“Kami ada sistem tersendiri. Skuad kebangsaan bantu apa yang mereka boleh buat dan kami di pihak persatuan lakukan apa yang perlu dibuat,” ujarnya.

Rabu lalu, dua pemain warisan baharu membuat kemunculan dengan menyertai latihan skuad Harimau Malaya di Johor Bahru.

Dua pemain tersebut adalah tonggak tengah kelab Portugal, Portimonense SC, Hector Hevel dan pemain pertahanan Tenerife B, Gabriel Palmero.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN