JOHOR BAHRU: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski masih belum memutuskan pemain yang akan dipilih dalam skuad 23 pemain menjelang aksi pusingan ketiga Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadim Sultan Ibrahim (SSI), di sini, Selasa ini.
Beliau berkata, pemilihan ini bergantung kepada prestasi pemain dan apa yang boleh mereka berikan dalam membentuk pasukan mengikut acuan yang dimahukan.
Dia akan memastikan pemain yang dipilih nanti benar-benar layak bagi menterjemahkan apa yang dimahukan pada perlawanan menentang Nepal nanti.
“Setakat ini, saya masih belum membuat keputusan mengenai perkara ini, antara kriteria pemilihan adalah kualiti yang ada pada pemain dan apa yang mereka boleh berikan kepada pasukan.
“Saya mahu perlawanan menentang Nepal nanti menjadi penanda aras pasukan yang diinginkan. Walaupun kami tidak sempurna, kami akan turun dengan penuh semangat dan menyuntik kegembiraan bagi penyokong,” katanya.
Pengendali kelahiran Australia itu tidak berhasrat untuk menghantar pulang pemain yang digugurkan, sebaliknya akan terus bersama pasukan.
Walaupun ada pemain yang tidak dipilih, Cklamovski tetap mahu mereka tetap merasakan bahawa mereka sebahagian daripada pasukan.
“Kami adalah sebuah pasukan, sebuah keluarga, sebuah negara dan kami perlukan sokongan semua. Saya tidak mahu mereka dipinggirkan, itu falsafah saya,” ujarnya.
Pengendali berusia 46 tahun itu masih menaruh harapan untuk menggunakan khidmat pemain tengah, Natxo Insa pada aksi pusingan ketiga Piala Asia 2027 ini.
Cklamovski memberitahu, pada masa ini, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu masih belum berlatih bersama kem skuad kebangsaan dan berlatih secara berasingan.
Pemain berusia 39 tahun itu dalam proses pemulihan secara individu dan pihaknya akan membuat keputusan kelak sama ada dia boleh menyertai latihan pasukan.
“Jika dia boleh berlatih bersama yang lain, itu adalah perkara yang baik kerana dia boleh menjadi sebahagian daripada skuad dan berada dalam pertimbangan untuk pemilihan,” ujarnya. – UTUSAN











