Harimau Malaya perlukan penyerang tulen sebelum lawan Vietnam 

Harimau Malaya perlukan penyerang tulen sebelum lawan Vietnam 

Corbin Ong (tiga dari kanan) dirai rakan sepasukan selepas menjaringkan gol menentang Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, kelmarin. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jentera serangan skuad Harimau Malaya masih perlu diperbaiki meskipun mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim(SSI), Iskandar Puteri, Johor, semalam.

Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim berpandangan, skuad Harimau Malaya masih perlu memperbaiki jentera serangan menjelang pertemuan dengan Vietnam pada Jun ini.

Katanya, walaupun skuad kendalian Peter Cklamovski menguasai hampir 80 peratus permainan, namun ketumpulan bahagian serangan masih menjadi tanda tanya menjelang pertemuan lebih sengit menentang Vietnam Jun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun menang 2-0, kita harus sedar bahawa Nepal bukan lawan sebenar kita. Mereka bukan berada pada tahap Vietnam atau pasukan lain dalam saingan kelayakan.

“Masalah utama masih di bahagian serangan. Kita belum ada seorang penyerang yang benar-benar berbisa dan mampu menggugat pertahanan lawan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Beliau turut berpendapat bahawa pemain warisan baharu, Hector Hevel memberikan impak yang positif dengan kebolehannya membaca permainan serta membuat hantaran berkesan.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa tanpa penyudah yang tajam, Malaysia akan berdepan kesukaran menentang pasukan  Vietnam yang mempunyai pertahanan lebih mantap.

“Ketika menentang Nepal pun kita sukar menembusi pertahanan mereka, jadi bagaimana kita mahu berdepan Vietnam? Kita perlu segera mencari solusi dan mungkin mencuba pilihan penyerang lain seperti Syafiq Ahmad,” ujarnya.

Selain itu, Bekas pengurus Selangor FC itu  turut menegaskan keperluan Malaysia mengadakan aksi persahabatan menentang pasukan yang lebih kuat daripada Vietnam bagi menguji ketahanan pertahanan dan ketajaman serangan skuad kendalian Cklamovski.

“Kita tak boleh lawan pasukan yang setaraf atau lebih lemah daripada Vietnam. Kita kena cari lawan yang lebih kuat supaya dapat menguji tahap sebenar pasukan sebelum perlawanan penting itu,” katanya.

Malaysia dijadual bertemu Vietnam dalam aksi penting Kelayakan Piala Asia 2027 pada Jun ini, dan kemenangan amat diperlukan bagi memastikan skuad negara terus berada di landasan terbaik untuk mara ke mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan F. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×