Empat pemain warisan di fasa akhir

Empat pemain warisan di fasa akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Impian peminat bola sepak tempatan untuk melihat pemain warisan baharu dalam skuad kebangsaan bakal menjadi kenyataan selepas difahamkan empat pemain berdarah kacukan kini dalam fasa akhir mendapatkan pasport Malaysia.

Kehadiran empat pemain warisan dari luar negara itu dijangka diumumkan dalam skuad terbaharu Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski untuk berdepan Nepal dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 25 Mac ini di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Johor.

Menurut sumber boleh dipercayai, keempat-empat pemain warisan itu ketika ini dalam proses akhir untuk mendapatkan passport Malaysia dan ia dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi membolehkan mereka menyertai Harimau Malaya.

“Sekarang ada empat pemain warisan dalam senarai untuk mendapatkan passport, mereka dalam fasa akhir untuk apakan pasport iaitu mereka kena datang (ke Malaysia) bagi melengkapkan proses imbasan cap jari sebelum semuanya selesai.

“Pemain warisan ini datang daripada negara pelbagai, saya tidak boleh maklumkan, mungkin boleh tunggu makluman rasmi daripada pihak bertanggungjawab selepas segala proses diselesaikan pada minggu hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi pemain naturalisasi katanya, proses permohonan kerakyatan dilakukan oleh kelab masing-masing membabitkan Bergson Da Silva, Manuel Hidalgo (Johor Darul Ta’zim) dan Jordan Mintah (Kuching City FC).

“Untuk pemain naturalisasi pula, sekarang ada tiga yang terbaharu iaitu Bergson, Hidalgo dan juga Mintah, kesemua mereka memenuhi syarat untuk menjadi pemain naturalisasi,” katanya.

Pada bulan lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan kerakyatan bagi empat pemain warisan akan diketahui dalam tempoh satu bulan akan datang.

Menurut Saifuddin, pihaknya perlu melakukan proses semakan terlebih dahulu bagi menentukan kategori permohonan sama ada pemain terbabit mempunyai pertalian darah dengan rakyat Malaysia atau tidak.

Ketika ini, skuad Harimau Malaya kekal misteri dengan FAM masih belum mengumumkan senarai pemain yang diinginkan Cklamovski, biarpun Nepal sudah menjalani latihan untuk berdepan Malaysia dalam aksi pertama kelayakan Piala Asia 2027.

Berdasarkan kalender Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), rehat antarabangsa bermula 17 Mac ini dan itu bermakna skuad Harimau Malaya tidak mempunyai masa yang lama untuk melakukan persiapan menentang Nepal di SSI. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN