Cari punca gagal di All England  

Cari punca gagal di All England  

RAZIF SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Legenda badminton negara Datuk Razif Sidek menggesa agar satu ‘post mortem’ perlu dilakukan segera oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengenal pasti punca kegagalan dalam kempen All England 2025.

Razif merupakan pemenang gangsa bagi acara beregu pada Sukan Olimpik 1992 turut tidak menolak sebahagian daripada pemain senior berada di zon selesa yang menyebabkan ia menjejaskan prestasi masing-masing. 

“Saya lihat prestasi pemain kita begitu hambar di kejohanan All England. Kita percaya mereka harus membuat ‘post mortem’ atau pendekatan baharu bagaimana prestasi negara turun begitu mendadak.

“Saya percaya dengan keputusan ini mereka perlu lakukan sesuatu dengan segera. Ikutkan daripada segi perspektif ramai, segelintir pemain senior memang begitu selesa dengan kehidupan mereka. 

“Jadi kalau boleh, mereka harus faham tanggungjawab mereka. Jadi BAM harus sentiasa peka dengan keadaan pemain. Saya bukan nak kritik tetapi ramai orang sudah bosan dengan keputusan yang tak begitu baik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada kejohanan All England yang melabuhkan tirainya pada Ahad lalu menyaksikan skuad badminton negara pulang awal apabila buat kali pertama sejak 2019 tiada wakil Malaysia layak ke separuh akhir kejohanan tersebut.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kecewa dengan prestasi kem badminton negara di All England malah beliau turut menggesa agar pemain keluar daripada zon selesa supaya dapat memberi saingan sengit dalam setiap kejohanan yang disertai.

Razif turut berharap kegagalan Malaysia di kejohanan tersebut dapat dijadikan pengajaran memandangkan selepas ini kem badminton negara akan beraksi dalam Piala Sudirman yang diadakan di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama Jepun, Perancis dan Australia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN