ISKANDAR PUTERI: Harimau Selatan tidak rela diikat lagi sebaliknya memburu kemenangan untuk mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Elit (ACLE) 2024-2025 dalam perlawanan menentang Buriram United, malam ini.
Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio turut menyifatkan perlawanan kedua di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu ibarat perlawanan akhir kerana kedua-dua pasukan sedar kemenangan akan melangkah ke suku akhir.
“Perlawanan esok penting untuk JDT, mungkin yang paling penting dalam tempoh setahun ini. Oleh itu, semua pihak akan beri komitmen 100 peratus untuk kelab, peminat dan Johor.
“Kami akui perlawanan esok sukar dengan taktikal dan fizikal pemain akan diuji. Jadi, pemain juga perlu bermain dengan akal dan hati serta kekal fokus sepanjang 90 minit permainan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Sementara itu, pemain JDT, Matthew Davies berkata, bermain di hadapan 35,000 penyokong sendiri bakal memberi tonik tambahan bagi JDT untuk menewaskan Buriram United.
“Buriram United memang sebuah pasukan yang bagus dan memiliki pemain berkualiti, tetapi JDT tidak kurang hebatnya dan kami yakin dengan kemampuan kami,” katanya yang mengharapkan sokongan padu rakyat Johor, esok.
Pada perlawanan pertama di Stadium Chang Arena, Thailand pada 4 Mac lalu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan. – UTUSAN










