PETALING JAYA: Legenda bola sepak negara, Rahim Abdullah telah meninggal dunia pada usia 77 tahun awal pagi ini.
Allahyarham pernah mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Munich 1972 dilahirkan di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada 1947 merupakan anak kedua daripada lapan adik-beradik dan merupakan anak lelaki sulung.
Seorang pemain sayap berbakat mula mencipta nama pada usia 19 tahun bersama Pulau Pinang pada 1966 sebelum beraksi untuk Selangor dan Perak.
Bekas anggota polis itu dikenali dengan kebolehannya menggunakan kedua-dua kaki, bermain di sebelah kiri untuk Pulau Pinang dan bertukar ke kanan ketika mewakili pasukan kebangsaan.
Rahim juga pernah menyarung jersi Harimau Malaya dalam beberapa kejohanan antarabangsa, termasuk Pestabola Merdeka, Piala Kemerdekaan Vietnam Selatan, dan Kejohanan Ulang Tahun Jakarta.
Selepas bersara sebagai pemain, Allahyarham menceburi bidang kejurulatihan, bermula dengan pasukan Polis sebelum mengambil alih pasukan kebangsaan pada tahun 1991.
Allahyarham merupakan jurulatih skuad kebangsaan ketika Malaysia bertemu England dalam perlawanan persahabatan di Stadium Merdeka, di mana Gary Lineker menjaringkan empat gol memberi kemenangan 4-2 untuk England, dengan Matlan Marjan menjaringkan kedua-dua gol untuk Malaysia.
Solat jenazah telah diadakan di Masjid Bukit Aman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kota Damansara. – UTUSAN











