PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan terburu-buru mencari pengganti jurulatih perseorangan wanita negara, Jeffer Rosobin yang meninggalkan badan induk itu pada minggu lalu.
Ketua jurulatih perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen berkata beberapa perubahan telah dilakukan buat sementara waktu bagi menampung kekosongan yang ditinggalkan Jeffer.
“Sudah tentu, apabila kehilangan seorang rakan sekerja, kami akan melihat susun atur dan bagaimana kami akan mencari calon yang sesuai dengan keperluan kami untuk masa hadapan.
“Kami tidak akan terburu-buru kerana apabila satu pintu tertutup, pintu yang lain terbuka. Ia memberikan kami peluang untuk melihat bagaimana kami ingin menjayakannya. Apabila sudah mengetahuinya, saya rasa kami akan dapat mencari calon yang tepat,” katanya.
Jonassen ditemui pemberita selepas sesi Latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Terdahulu, Jeffer meninggalkan BAM, Jumaat lalu selepas 16 bulan berkhidmat dan badan induk tersebut mengesahkan jurulatih dari Indonesia itu membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya berikutan komitmen keluarganya di Jakarta, Indonesia.
Jonassen berkata dia perlu berinteraksi dengan baik bersama barisan kejurulatihan bagi menampung kekosongan tersebut sementara mencari pengganti jurulatih baharu.
Katanya lagi, dia tidak merancang untuk mencari pengganti dari Denmark iaitu negara kelahirannya sebaliknya jurulatih yang bakal dilantik itu perlu memahami pasukan serta memberi kerjasama dengan baik.
“Saya tidak fikir begitu (cari pengganti dari Denmark). Saya fikir jurulatih itu perlu faham akan pasukan dan bukannya menyertai pasukan dengan membawa caranya tersendiri. Saya ada beberapa perkara (kriteria) yang saya mahukan agar pemain wanita ada peningkatan,” katanya. – UTUSAN










