KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (ABM) mengumumkan perubahan dalam struktur kejurulatihan dengan pelantikan Rexy Mainaky sebagai Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (BAM) manakala Kenneth Jonassen sebagai pengarah kejurulatihan perseorangan negara.
Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam mengesahkan bahawa perubahan ini bertujuan untuk mengurangkan beban Rexy selaku Pengarah Kejurulatihan, agar beliau dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada bahagian beregu lelaki, wanita dan campuran.
Menurut Subramaniam, perubahan ini dibuat selepas perbincangan menyeluruh dengan semua pihak berkaitan dan mendapat persetujuan bersama.
“Kami telah meneliti perkara ini secara mendalam dan memutuskan untuk memberi tanggungjawab kepada Rexy untuk sepenuhnya mengendalikan bahagian beregu, manakala Kenneth akan mengetuai bahagian perseorangan,
“Dengan cara ini, Rexy dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.
“Manakala Kenneth pula akan menguruskan pemain perseorangan dari peringkat remaja hingga senior,” kata Subramaniam pada sidang akhbar Mesyuarat Exco BAM di ABM, Bukit Kiara, semalam.
Rexy yang memegang jawatan selaku pengarah kejurulatihan bertanggungjawab untuk menjaga kesemua pemain di ABM dari peringkat remaja hingga senior.
Sementara itu, Subramaniam turut mengesahkan bahawa proses pemilihan jurulatih baharu sedang dijalankan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Jeffer Rosobin.
“Jonassen sedang dalam proses menilai dan menyenarai pendek calon yang sesuai untuk menyertai pasukan kejurulatihan perseorangan. Keputusan akhir akan dibuat dalam masa terdekat,” jelasnya.
Bulan lalu, pengendali dari Indonesia itu dikatakan terpaksa mengambil keputusan untuk mengundurkan diri bagi memberi lebih tumpuan kepada keluarga. – UTUSAN










