PETALING JAYA: Selepas mempamerkan aksi membanggakan bagi acara 60 meter (m) dalam dewan kini jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi perlu mengalihkan tumpuannya dengan menyertai kejohanan 100m luar dewan.
Perkara itu disahkan oleh Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard apabila berkata, atlet dari Perak itu perlu mempersiapkan dirinya bermula April ini.
“Dia sudah selesai mengharungi kejohanan dalam dewan NCAA (Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan) dan bagi kejohanan olahraga luar dewan NCAA akan diadakan pada pertengahan Jun ini.
“Bermula pada April ini, dia akan berlumba di luar dewan dan pada awal Jun dia akan cuba melayakkan diri ke aksi final luar dewan NCAA.
“Tahun lalu, bagi acara berpasukan menyaksikan Azeem membantu kuartet 4x100m lelaki Universiti Auburn meraih perak, jadi mari saksikannya sekali lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Tahun lalu, Azeem meraih perak bersama kuartet 4x100m lelaki Universiti Auburn Kejohanan Balapan dan Padang Southeastern Conference (SEC) di Florida, Amerika Syarikat (AS), pada Mei 2024.
Bagi saingan musim ini, Azeem yang berpangkalan di AS bertindak cemerlang apabila memadam rekod 60m kebangsaan dengan catatan 6.56 saat (s) ketika merangkul gangsa pada Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025.
Kejayaan tersebut memperbaharui rekod lamanya, 6.60s yang dilakukannya di Kejohanan Jemputan Tiger Paw, pada Februari.
Pada Kejohanan Akhir Olahraga Dalam Dewan NCAA di Virginia, Sabtu lalu, menyaksikan Azeem mencatat masa 6.61s dalam saringan kedua pusingan awal, sekali gus menamatkan saingan di tempat ke-13 daripada 16 pelari terbaik. – UTUSAN










