LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata barisan pemainnya tidak akan berputus asa mengejar Liverpool di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).
Keyakinan itu hadir selepas The Gunners berjaya menumpaskan Chelsea 1-0 kelmarin menerusi jaringan Mikel Merino yang diberikan peranan sebagai penyerang.
Merino yang pada asalnya bermain sebagai pemain tengah, mempamerkan naluri seorang penyerang apabila menanduk bola hantaran Martin Odegaard melepasi Robert Sanchez.
“Pendekatannya terhadap peranan itu sangat luar biasa. Dia memahami segalanya dan mahu belajar, sentiasa mengkritik dirinya sendiri. Pada akhirnya, dia muncul wira untuk kami,” katanya..
Pada Februari lalu, Merino menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas Leicester City selepas dimasukkan sebagai pemain gantian untuk mengetuai serangan Arsenal, dan sejak itu, dia terus bermain di posisi itu.
Ditanya mengenai jurang 12 mata antara Arsenal dan pendahulu liga, Liverpool, Arteta menegaskan bahawa pasukannya perlu memenangi setiap perlawanan.
“Kami perlu memenangi perlawanan. Menang menentang Fulham dan kami akan semakin hampir,” katanya merujuk kepada perlawanan seterusnya Arsenal pada 2 April depan.
Sama seperti Arsenal, Chelsea turut kehilangan beberapa pemain serangan utama mereka, termasuk penjaring terbanyak musim ini, Cole Palmer yang mengalami kecederaan otot ketika sesi latihan sebelum kunjungan ke Emirates.- AGENSI/UTUSAN










