MANCHESTER: Peluang Arsenal untuk bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin tipis selepas terikat 1-1 dengan Manchester United, semalam.
Keputusan seri itu menimbulkan kemarahan pengurus The Gunners, Mikel Arteta selepas barisan pemainnya membazirkan deretan peluang di depan gawang.
Dengan berbaki 10 lagi perlawanan, Arsenal yang berada di tempat kedua ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu Liverpool, meskipun berkelebihan satu perlawanan.
“Sangat mengecewakan kami tidak menang dengan dominasi dan peluang yang dimiliki pada separuh masa pertama. Kami memberikan bola begitu sahaja. Melakukan kesalahan.
“Kami menguasai perlawanan selepas rehat dan anda boleh rasa mereka (United) sangat keletihan.Ia tentang ancaman di dalam 25 meter terakhir untuk menghasilkan sesuatu.
“Mereka jua seperti tidak mahu bermain. Anda datang ke sini dan mahu menang perlawanan tapi hari ini, ia jelas mengecewakan apabila terikat 1-1,” kata Arteta.
Rice dan Arteta juga ditanya mengenai gol Bruno Fernandes dari sepakan percuma selepas pemain tengah United itu berkata, benteng Arsenal berada sekitar 15 meter ke belakang.
“Saya belum melihat gol itu kembali. Ia terasa seperti bola terbang di atas kami pada ketinggian rendah. (Tembok itu) memang terasa jauh ke belakang. Anthony (Taylor) pengadil, dia membuat keputusan itu,” kata Rice.
Sementara itu Arteta berkata, bola sepak adalah untuk pemain pintar dan Fernandes memanfaatkan ituasi itu untuk meledak gol untuk pasukannya.
“Fernandes melakukan itu dan memanfaatkan situasi, dia lebih bijak daripada kami dan pengadil. Itu adalah gol, jadi mereka mengambil peluang itu. Bola sepak untuk orang yang bijak,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










