Meriam Arsenal alih sasaran

Meriam Arsenal alih sasaran

Arsenal kini memberikan tumpuan dalam memburu trofi Liga Juara-Juara. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berharap barisan pemainnya kembali bangkit dalam kempen Liga Juara-Juara selepas prestasi tidak menentu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Biarpun sedar pasukannya masih bergelut dengan masalah kecederaan, Arteta yakin barisan pemain sedia ada mampu membawa cabaran dalam aingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Impian skuad digelar Gunners untuk merangkul kejuaraan liga pertama dalam tempoh 21 tahun kini tampak semakin pudar selepas ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool.

Menjulang gelaran di peringkat Eropah buat kali pertama kini menjadi satu-satunya peluang Arsenal untuk menamatkan kemarau trofi selama lima tahun.

Arsenal akan berdepan PSV Eindhoven di pusingan 16 awal pagi Rabu dan ia boleh memberi Arteta sedikit masa untuk mendapatkan semula pemain utama di bahagian serangan.

Kai Havertz dan Gabriel Jesus disahkan tidak akan beraksi lagi musim ini akibat kecederaan hamstring dan lutut yang serius.

Namun, terdapat harapan Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli boleh kembali menjelang suku akhir bulan depan sekiranya Arsenal melangkah ke peringkat seterusnya.

Kehilangan keempat-empat penyerang itu sangat dirasai dengan Arsenal gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan EPL terakhir mereka menentang West Ham dan Nottingham Forest, sekali gus menamatkan impian kejuaraan liga secara realistik.

Dalam keadaan terdesak, Mikel Merino telah diletakkan sebagai penyerang sementara manakala Arteta terpaksa bergantung kepada pemain remaja, Ethan Nwaneri untuk mengisi posisi sayap kanan yang biasanya menjadi milik Saka.

“Saya tahu apa yang kurang iaitu sentuhan penyudah di bahagian serangan.Masih banyak yang perlu diperjuangkan dan kami perlu mencari jalan untuk mengatasinya.

“Kami masih ada Liga Juara-Juara, satu pertandingan yang sangat istimewa dan kami perlu bersedia untuk perlawanan pada Rabu (awal pagi esok),” kata Arteta.

Sementara tu, kapten Arsenal, Martin Odegaard masih bergelut untuk mencapai prestasi terbaik seperti dua musim sebelumnya selepas pulih daripada kecederaan buku lali yang membuatnya tersisih selama dua bulan awal musim ini.

Arteta turut menyuarakan kebimbangan mengenai kesan jadual padat terhadap pemain utama dan ia adalah situasi turut dirasai ramai pengurus lain.

“Dia kembali dengan sangat kuat dan beraksi pada tahap yang sangat tinggi. Tetapi untuk mengekalkan tahap itu dalam jangka masa panjang seperti yang kami tuntut daripada pemain terutama pemain kreatif, ia sangat sukar.

“Beban perlawanan yang semakin bertambah telah memberi kesan kepada prestasi ramai pemain dengan kecederaan dan keletihan menjadi cabaran besar buat Arsenal dalam usaha mereka memburu kejayaan musim ini,” kata Arteta.- AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN