Yang sedap didengar itu tidak semestinya benar

Yang sedap didengar itu tidak semestinya benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARLIMEN bukan tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah. Ia dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.”

Itulah antara titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 pada Isnin lalu.

Tegas baginda lagi, ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya ejen perpecahan rakyat.

Seterusnya, baginda inginkan mereka untuk menghentikan tindakan bermain politik atas setiap isu dan jangan hanya mementingkan parti atau kelompok sendiri sahaja.

Sultan Ibrahim turut menzahirkan rasa bimbang tentang budaya fitnah, hasutan dalam talian dan media sosial yang menyebabkan rakyat keliru, bermusuhan dan berpecah-belah.

Baginda bertitah agar kerajaan bertindak tegas bagi membendung budaya ini serta bersikap proaktif untuk memberi maklumat yang betul dan boleh dipercayai.

Titah Tuanku Sultan Ibrahim membawa suara hati rakyat Malaysia yang mahukan ahli-ahli Parlimen berhenti bermain politik dan sebaliknya menumpukan usaha bagi memakmurkan negara. Rakyat sudah memberi mandat.

Justeru, menjadi tanggungjawab wakil-wakil yang dipilih untuk menjalankan tugas dengan jujur dan amanah, bukannya lebih sibuk berpolitik sepanjang masa.

Rakyat mengharapkan suara dan cadangan yang konstruktif di Parlimen, bukannya ucapan berbaur politik, pertengkaran atau kata-mengata. Akhirnya, bagaikan tin kosong semua itu hanya kuat bunyinya tetapi tidak memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.

Lebih buruk lagi apabila membabitkan tuduhan yang tidak benar serta penampilan sikap yang tidak menghormati peraturan persidangan. Sudah tentu rakyat yang menyaksikan persidangan Parlimen merasa kecewa dengan sikap sebegini.

Sebagai pemimpin, mereka mesti menjaga adab dan tingkah laku masing-masing pada setiap masa dan tidak berterusan menjadikan fitnah sebagai modal politik. Berapi-api membuat tuduhan palsu dan selepas itu meminta maaf, sedangkan orang ramai yang termakan fitnah masih mempercayainya.

Lebih malang, perbuatan keji sebegini menjadi ikutan anak muda yang mula berjinak dengan politik kepartian. ‘Bak nyiru bak tampian, bak guru bak anak sasian’, ‘kalau guru makan berdiri, maka muridnya makan berlari’. Sehinggakan ramai anak muda yang merasakan inilah realiti cara berpolitik matang dan bijak. Lantas, budaya buruk itu sudah menjangkiti politik kampus.

Ada pihak yang berusaha menormal dan menghalalkan budaya ini atas nama hak kebebasan bersuara yang menurut mereka tidak patut disekat. Walhal, masyarakat yang bertamadun tinggi seharusnya hidup dengan penuh tertib serta mengamalkan tatasusila terpuji, bukannya berbangga melakukan perkara keji.

Hakikatnya, dalam menyelusuri prinsip hidup bernegara dan beragama, kita mempunyai batas undang-undang dan peraturan. Maka, tiada sesiapa pun mempunyai kebebasan mutlak untuk bercakap atau melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki.

Budaya fitnah dan hasutan bukanlah isu yang remeh. Jika dibiarkan berleluasa, ia bakal memecah-belahkan rakyat dan seterusnya mengancam kestabilan dan kedaulatan negara. Lebih kritikal lagi apabila fitnah yang direka cipta itu melibatkan hal-hal sensitif, khasnya yang menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum).

Jangan kerana nafsu, keamanan negara diperjudikan. Bagi yang menerima berita panas pula, jangan mudah percaya apa yang disebarkan. Yang sedap didengar itu bukan semestinya benar. Justeru, selidiklah dahulu sebelum berkongsi berita di media sosial.

Pada era teknologi maklumat yang berkembang pesat ini, fitnah yang direka boleh bertebaran di seluruh dunia hanya dalam sekelip mata. Demi mengejar sukaan di media sosial, ramai pula yang berebut-rebut dan tidak sabar untuk menyebarkan berita tular yang diterima.

Betapa mudahnya kita terdedah kepada fitnah dan menjadi penyambung fitnah. Kita bukan sahaja setakat membiarkan diri sendiri tertipu tetapi tanpa berfikir panjang kita turut sama menyumbang tenaga untuk bersama-sama menipu orang lain. Sehinggakan ada yang bermati-matian bersama-sama menegakkan benang yang basah.

 

YANG di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyampaikan Titah Diraja pada istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, 3 Februari lalu.
– GAMBAR JABATAN PENERANGAN

 

 

SANJUNG TITAH
Di media sosial, ada yang menyembunyikan identiti sebenar mereka dan ada juga yang mencuri identiti orang lain untuk kepentingan diri. Ramai yang merasa bebas berkata apa sahaja kerana mereka boleh berselindung di sebalik akaun palsu. Malah, budaya baling batu sembunyi tangan sudah menjadi lumrah sejak dahulu.

Selain daripada penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas, rakyat juga harus berubah menjadi lebih bijak. Sikap berhati-hati, bijaksana dan bertanggungjawab dapat menghindarkan kita semua daripada mudah diperalatkan. Kewarasan berfikir harus menjadi asas kepada penilaian kita sebelum mengambil sebarang tindakan.

Sultan Ibrahim turut menyentuh tentang betapa pentingnya bagi pemimpin memelihara hak kedaulatan negara. Di manakah rasa cinta kepada negara jika kita tidak sanggup berkorban demi usaha untuk mempertahankan kedaulatan setiap inci daripada tanah air?

Baginda bertitah, kerajaan perlu bijak dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan semua pihak dan meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani isu-isu serantau dan sempadan negara.

Tegas baginda lagi, tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil bagi memastikan hak kedaulatan serta kepentingan negara terus kekal terpelihara, walaupun hanya seketul batu karang di tengah lautan.

Rakyat menjunjung kasih ke atas keprihatinan Sultan Ibrahim sebagai ketua utama negara dalam memastikan kesejahteraan rakyat yang bernaung di bawah pemerintahan baginda. Sesungguhnya raja dan rakyat berpisah tiada.

Krisis politik getir yang melanda negara, jelas membuktikan betapa pentingnya institusi diraja dalam menyelamatkan negara angkara perebutan kuasa politik.

Semoga kerajaan, pemimpin politik serta pihak berkuasa menjunjung tinggi dan melaksanakan segala titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN