KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Muhammad Haikal Nazri terpaksa menarik diri daripada menyertai Terbuka Jerman pada 25 Februari ini bagi memberi tumpuan kepada pemulihan kecederaan otot pangkal pahanya.
Pemeriksaan terbaharu di Institut Sukan Negara (ISN) mengesahkan pemulihannya kini sudah mencapai 80 peratus, namun dia masih perlu menjalani ujian kecergasan sebelum kembali ke latihan penuh.
Haikal yang bergandingan dengan Choong Hon Jian, mengakui beliau belum dibenarkan melakukan lompatan dalam latihan dan hanya memberi tumpuan kepada pergerakan di bahagian depan gelanggang.
“Alhamdulillah, minggu lepas saya buat imbasan dan doktor kata kecederaan saya semakin baik. Sekarang saya tunggu ujian seterusnya, termasuk ujian di gim minggu depan.
“Kalau keputusan baik, saya boleh kembali menjalani latihan sepenuhnya,” kata Haikal kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.
Pada Disember lalu, pemain berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan di pinggulnya semasa menjalani latihan di ABM.
Sementara itu, Haikal memaklumkan beliau mengalihkan fokusnya kepada dua kejohanan, iaitu Orleans Masters dan All England, yang menjadi keutamaan dalam perancangannya.
Bagi Haikal, All England sangat penting kerana ini merupakan kali pertama dia layak beraksi dalam kejohanan badminton tertua dan paling berprestij itu.
“Saya dah beritahu jurulatih bahawa saya tidak dapat beraksi di Jerman. Jadi, saya akan lihat perkembangan saya untuk Orleans Masters dan All England.
“Saya memang sasarkan untuk bermain di All England sebab ini kali pertama saya layak. Saya harap dapat pulih sepenuhnya dan sempat beraksi di sana,” katanya.
Selepas pemeriksaan seterusnya di ISN minggu depan, Haikal dijangka akan kembali ke latihan intensif sekiranya kecergasannya mencapai tahap yang memuaskan.
Orleans Masters dijadual berlangsung dari 4 hingga 9 Mac di Orleans, Perancis dengan All England menyusul seminggu kemudian. – UTUSAN











