PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom sedia mengetepikan masalah kecederaannya bagi memburu kemenangan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025.
Atlet berusia 30 tahun itu turut berjanji tidak akan menggunakan kecederaan tersebut sebagai alasan jika gagal mendapatkan keputusan seperti yang diharapkan dalam kejohanan yang diadakan di Nilai pada 21 hingga 27 Februari ini.
Pelumba kelahiran Muar itu mengalami kecederaan tempurung lutut kanan sejak dua minggu lalu mengakui persiapannya menjelang kejohanan tersebut terjejas, namun Shah berkata, dia mahu kekal positif.
“Saya tak tahu nak gambarkan keadaan diri saya macam mana sebab saya ada kecederaan di tempurung lutut dan saya akui ia mengganggu persiapan bagi menghadapi ACC nanti.
“Sebelum ini, saya mengalami kecederaan otot paha, juga di kaki yang sama dan ia berlaku ketika latihan di gimnasium kerana dalam tempoh dua tahun ini saya mahu meningkatkan jisim otot.
“Bagaimanapun, saya sedia ketepikan kesakitan ini dan saya tidak mahu bagi alasan disebabkannya. Apa yang pasti saya mahu berikan persembahan terbaik dan apa jua keputusan saya sedia menerimanya,” kata Shah Firdaus kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan ketua jurulatih pasukan berbasikal trek negara, Harnizam Basri mengesahkan Shah Firdaus tetap diturunkan dalam cara keirin dan pecut individu di kejohanan tersebut.
Olimpian negara itu merupakan sandaran negara di kejohanan tersebut bersama beberapa pelumba lain seperti adiknya, Muhammad Ridwan dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Sebagai rekod, Shah Firdaus meraih gangsa bagi acara pecut lelaki namun gagal mara ke final keirin lelaki di ACC New Delhi, India pada tahun lalu. – UTUSAN










