Slot kecewa Reds kena rantai

Slot kecewa Reds kena rantai

Pemain tengah Liverpool, Curtis Jones (tengah) diasak pemain Aston Villa, Marco Asensio (kanan) dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Villa Park, Birmingham, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIRMINGHAM: Pengurus Liverpool, Arne Slot meluahkan kekecewaannya selepas pasukannya sekadar seri 2-2 menentang Aston Villa dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Villa Park,semalam.

Keputusan itu menyaksikan The Reds gagal memanfaatkan peluang untuk melebarkan jurang kepada 10 mata di puncak liga, sekali gus membuka ruang kepada Arsenal untuk merapatkan kedudukan.

“Sejujurnya, saya tidak gembira. Kami mencipta lebih banyak peluang berbanding mereka dan melakukan semua yang perlu untuk meraih kemenangan,” kata Slot.

Liverpool mendominasi permainan dan mendahului pada minit ke-28 menerusi jaringan Mohamed Salah yang juga merupakan jaringan ke 24 peribadi baginya. Bagaimanapun, Villa bangkit dengan dua jaringan menerusi Youri Tielemans dan Ollie Watkins sebelum rembatan Trent Alexander-Arnold selepas sejam memastikan keputusan seri.

Pemain gantian Liverpool, Darwin Nunez mensia-siakan peluang keemasan manakala Villa hampir meraih kemenangan apabila percubaan Donyell Malen sekadar menggegar tiang gol.

Secara keseluruhan, Liverpool melakukan 17 percubaan berbanding sembilan milik Villa, namun kealpaan di hadapan gawang menyebabkan mereka pulang dengan hanya satu mata.

“Jika melihat peluang demi peluang yang kami cipta, saya jelas tidak berpuas hati dengan keputusan ini. Kami hampir bermain dengan sangat baik, tetapi ini adalah bola sepak,” kata Slot.

Arsenal yang mempunyai satu perlawanan di tangan, bakal berdepan West Ham pada Sabtu ini dan kemenangan akan merapatkan jurang kepada lima mata sebelum Liverpool bertandang ke Manchester City pada Ahad.

Sementara itu, Slot turut bimbang mengenai kecederaan Conor Bradley yang terpaksa dikeluarkan selepas menggantikan Alexander-Arnold.

“Ia berlaku ketika pecutan. Kami tidak pasti keadaannya, tetapi jika pemain terpaksa dikeluarkan, ia bukan petanda baik,” katanya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN