Slot jangka aksi ‘panas’ di Etihad  

Slot jangka aksi ‘panas’ di Etihad  

ARNE SLOT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengendali Liverpool, Arne Slot percaya Manchester City akan turun dengan semangat juang tinggi bagi menggagalkan usaha The Reds dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.  

Liverpool bakal bertandang ke Stadium Etihad awal pagi Isnin dengan misi mencipta kemenangan liga pertama di sana sejak 2015, sebelum era Pep Guardiola.  

Biarpun City hampir pasti terkeluar daripada persaingan kejuaraan, Slot yakin pasukan bimbingan Guardiola itu tetap bermotivasi tinggi.  

“Ini bukan kerana Liverpool yang datang, tetapi kerana perseteruan dalam beberapa tahun terakhir. Barisan pemain merasakannya kerana mereka adalah pemain bola sepak.  

“Pada ketika ini, anda boleh katakan bahawa selepas mereka menang 4-0 ke atas Newcastle, pemain kembali cergas, dan tambahan empat pemain baharu memberi kelebihan kepada mereka,” kata Slot.

Persaingan sengit antara kedua-dua pasukan pernah mewarnai perebutan kejuaraan EPL pada musim 2018-19, 2019-20 dan 2021-22, dengan Liverpool muncul juara pada 2019-20.  

Slot mengakui pasukannya perlu berada di tahap terbaik untuk mempertahankan rekod tanpa kalah mereka dalam 22 perlawanan liga setakat ini.  

Sementara itu, tumpuan turut terarah kepada Darwin Nunez yang mungkin diturunkan dari bangku simpanan selepas gagal menyempurnakan peluang keemasan ketika bertemu Aston Villa.  

Kesilapan itu mengundang kritikan daripada Slot, namun pengendali Liverpool itu enggan mengulas lanjut mengenai kemungkinan membawa masuk penyerang baharu pada musim panas nanti. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×