NILAI: Pelumba wanita sensasi negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri optimis untuk membawa pulang pingat emas dalam acara pecut individu elit wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang berlangsung di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.
Lebih manis, pelumba berusia 22 tahun itu memecahkan rekod kebangsaan dalam aksi kelayakan semalam dengan catatan 10.685 saat (s), sekali gus memadam rekodnya sendiri yang dilakukan pada Sukan Olimpik Paris 2024 (10.709s).
Izzah mengakui rekod tersebut memberi suntikan semangat buat dirinya untuk tampil lebih bertenaga dalam misi memburu emas pada aksi separuh akhir pecut individu, hari ini,
“Sejujurnya, saya tak jangka untuk pecahkan rekod ini. Dalam perlumbaan terakhir di ACC sebelum ini, saya agak bergelut dengan catatan masa.
“Saya harap tidak membuat kesilapan hari ini. Sekiranya semuanya berjalan lancar, saya optimis untuk meraih pingat,” kata Izzah kepada pemberita selepas perlumbaan, di sini, semalam.
Pada aksi separuh akhir hari ini, Izzah bakal berdepan cabaran getir menentang wakil China, Guo Yu Fang, manakala satu lagi saingan menemukan pelumba Jepun, Mina Sato dengan seorang lagi wakil China, Bao Shanju.
Mengulas mengenai perlumbaan separuh akhir, Izzah bertekad memberikan saingan terbaik walaupun bakal menentang lawan bertaraf dunia seperti Sato, juara dunia keirin tahun lalu.
“Memang ada rasa gementar sebab dia adalah juara dunia, tapi saya juga mahu berikan saingan terbaik dalam pecut. Insya-Allah, saya akan cuba elakkan kesilapan dan harap dapat membawa pulang pingat untuk Malaysia,” ujarnya.
Untuk rekod, Izzah berjaya membawa pulang gangsa dalam acara yang sama pada edisi ACC 2024 di New Delhi, India. – UTUSAN










