PETALING JAYA: Tiada elemen kejutan dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk penggal 2025-2029 hari ini selepas dua jawatan penting iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Datuk Joehari Mohd. Ayub hanya menunggu pengesahan untuk diumumkan sebagai Presiden FAM yang baharu, manakala Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram mempertahankan jawatan Timbalan Presiden.
Tumpuan hanya terarah kepada perebutan jawatan Naib Presiden FAM dengan lima calon tersenarai untuk merebut empat kerusi yang diperuntukkan untuk posisi berkenaan dalam badan induk bola sepak negara itu.
Daripada lima calon berkenaan, hanya Datuk Seri Rosmadi Ismail merupakan muka lama dan beliau bakal ditentang oleh N. Saaran, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin, Datuk Dollah Salleh dan Syed Yazid Syed Omar.
Melihat kepada pencalonan yang dibuat oleh ahli gabungan kali ini, Rosmadi mengakui statusnya selaku penyandang tidak memberi kelebihan besar buatnya dan tetap menghormati kredibiliti pesaing lain.
“Kelima-lima calon pastinya ada pengalaman tersendiri kerana ada juga bekas pemain. Sememangnya saya pernah berkhidmat dalam FAM cuma sekarang terserah kepada ahli gabungan kerana mereka yang lebih tahu siapa sesuai untuk dipilih pada pemilihan nanti
“Andai kata dapat kekalkan jawatan, saya pun belum tahu apa tanggungjawab yang akan diberikan. Tetapi secara peribadi saya minat jaga futsal kerana belum lagi puas dan masih ada perkara yang boleh dibuat tetapi jika dipilih, saya perlu bersedia dengan apa saja yang akan diputuskan oleh presiden,” katanya.
Selain jawatan Naib Presiden, perebutan bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM turut menjadi perhatian kerana 17 calon akan bersaing bagi merebut lapan kerusi yang ditawarkan. – UTUSAN










