PETALING JAYA: Pemilik kelab Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berpandangan model penswastaan Liga Malaysia (Liga M) perlu dikaji semula bagi memastikan setiap pasukan dapat mencapai keuntungan optimum.
Beliau berkata, sejak penswastaan Liga M dilaksanakan sepenuhnya pada 2019 kebanyakan pasukan yang bertanding gagal meraih keuntungan bagi menampung perbelanjaan kelab.
Katanya lagi, konsep perniagaan dalam penswastaan Liga M jauh tersasar apabila setiap modal yang dikeluarkan gagal mencapai pulangan seperti yang diharapkan.
“Ini badan swasta dan bukan negeri (kerajaan), swasta adalah dari RM1 kena jana RM2, jadi kalau konteks RM1 tetapi tidak dapat menjana pulangan, itu bukan konsep yang tepat dan betul dari segi konsep penswastaan (Liga M).
“Melainkan kita kata kita lupakan penswastaan, bola sepak adalah di bawah tanggungjawab persatuan atau kerajaan negeri itu soal kedua. Tapi bila mana kita ambil pendekatan ia penswastaan, jadi konsep RM1 modal itu perlu menjana kewangan, perlu difikirkan.
“Sekarang itu tidak berlaku, matematik itu tidak berlaku. RM1 akan berkurang menjadi kosong atau satu sen sebagainya. Perniagaan yang biasa kita tahu modal RM1 boleh menjana kepada RM2, tapi modal bola sepak (di Liga M) hari ini RM1, esoknya akan menjadi 10 sen.
“Kita terpaksa bina semula 10 sen kepada RM1 dan itulah cabaran, dan sebab itu, kita perlukan penajaan yang berhati besar untuk membantu kita dalam kos-kos operasi,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Daud menyarankan agar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengkaji keperluan meletakkan pasukan pembangunan sebagai syarat utama mendapatkan pelesenan Liga M.
“Bagi saya yang melibatkan pembangunan itu boleh dipertimbangkan semula, sebab ini tanggungjawab pihak yang mempunyai geran atau bajet untuk tujuan pembangunan dalam membantu bakat muda, pendedahan, latihan dan sebagainya.
“Tetapi dalam konteks pertandingan, ia melibatkan (jualan) tiket. Banyak pasukan (pasukan bawahan) yang kita tanggung tidak ada tiket dijual, ia merupakan satu hala sahaja. Hanya kos, tidak ada pulangan kepada kita. Jadi ada tiga pasukan yang tidak ada tiket sama sekali.
“Bagi saya secara peribadi, kita hanya fokus kepada Liga Super atau yang hampir sama mempunyai dimensi pulangan kewangan sama ada dari penajaan,” katanya. – UTUSAN










