PETALING JAYA: Sudah sampai masanya buat beregu wanita negara M Thinaah-Pearly Tan menamatkan kemarau juara Kejohanan All England selepas kali terakhir pasangan Chin Eei Hui-Wong Pei Tty hanya bertahan di separuh akhir 18 tahun lalu.
Thinaah-Pearly mula membuat penampilan di kejohanan tersebut pada 2021 dan perjuangan mereka terhenti di peringkat suku akhir kecuali pada musim 2023 yang menyaksikan mereka tersingkir seawal pusingan pertama.
Bagaimanapun, Thinaah yang berasal dari Klang berkata, itu bukan matlamat utama menjelang kejohanan tersebut yang akan membuka tirai pada 11 Mac ini, sebaliknya mahu mengambil perlawanan satu demi satu.
“Sudah pasti kami mahu melangkah lebih jauh daripada peringkat suku akhir tapi pada masa sama saya tak nak letakkan tekanan kepada diri sendiri untuk ke separuh akhir. Kami mahu fokus kepada diri sendiri.
“Semestinya ia menjadi motivasi namun kami tidak mahu menjadikan motivasi itu sebagai tekanan. Kami hanya mahu menikmati permainan dan memberikan aksi terbaik dalam gelanggang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Dalam pada itu, beberapa negara seperti Jepun, Korea Selatan dan China telah melakukan pecah gandingan terhadap beregu wanita mereka dan mengulas lanjut, Thinaah mengakui perubahan tersebut menjadi cabaran buat mereka.
“Saya rasa ramai pemain tersebut bukan pemain yang tidak dikenali. Kami sudah mengenali pemain-pemain tersebut. Mereka pernah berada di kedudukan No. 1 hingga No. 5 dunia.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami tidak mahu memberi tumpuan terlalu banyak kepada lawan sebaliknya kami hanya mahu fokus pada diri sendiri dan memberikan yang terbaik,” katanya.
Sebelum beraksi di All England, Thinaah-Pearly dijadual beraksi di Orleans Masters pada 4 hingga 9 Mac ini dekat Perancis. – UTUSAN










